SINAR HARIAN ONLINE
KUALA LUMPUR – Kira-kira 15 gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam menyeru penganut agama Kristian Katolik negara ini agar menggunakan perkataan ‘Tuhan’ dalam penerbitan akhbar mingguan mereka, Herald- Catholic Weekly.
Perhimpunan aman yang diadakan di beberapa lokasi seluruh negara semalam juga antara lain menuntut pemimpin Katolik tidak meneruskan niat menggunakan kalimah Allah.
Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Gerakan Bantah Penggunaan Kalimah Allah, mereka menegaskan bantahan ini diluahkan kerana bimbang kalimah Allah tersebut akan digunakan dengan maksud lain dari yang sudah muktamad dalam Islam.:
Selain itu, gerakan ini juga merayu kepada Majlis Raja-Raja Melayu untuk memainkan peranan yang lebih proaktif untuk mempertahankan agama dan umat Islam.
Gerakan ini juga menjelaskan akan mengadakan satu kempen mengumpul tandatangan sejuta umat Islam dalam masa terdekat untuk meningkatkan kesatuan umat berlandaskan Islam di Malaysia.
Ketua Perkasa Selangor, Amran Azhar Abdul Hanafi ketika menyampaikan ceramah di pekarangan Masjid Negara berkata, isu ini seharusnya melibatkan seluruh umat Islam di negara ini tanpa dipecahkan dengan sebarang ideologi politik.
Katanya lagi, isu ini sengaja dipermainkan untuk menguji tahap kesabaran Islam dan menuntut seluruh umat Islam agar bersabar serta tidak bertindak diluar batasan agama dan undang-undang negara.
“Kita sudah mengamalkan sikap tolerasi kepada mereka, dan mereka juga seharusnya bersikap tolerasi kepada kita, Malaysia adalah sebuah negara aman dan harmoni.
“Kita hormati dan menyayangi mereka semua, tetapi saya seru jangan bermain dengan isu ini kerana ia seolah-olah bermain dengan api, kes ini sepatutnya dibawa ke mahkamah syariah dan bukannya mahkamah sivil,” katanya sambil menitiskan air mata semalam.
Perhimpunan aman tersebut dihadiri kira-kira 1000 orang dan berlangsung selama 15 minit. Sepanjang perhimpunan tersebut, tiada perkara tidak diingini berlaku dan tiada tangkapan yang dilakukan.
Sementara itu, Presiden Pekida Malaysia, Jamaludin Yusof pula menegaskan penggunaan nama Allah dikhususkan kepada Islam dan agama-agama lain mempunyai nama tuhan mereka sendiri.
“Isu ini tidak harus timbul, kita bukan tidak hormati agama lain, tetapi kita minta mereka juga menghormati agama kita.
“Oleh itu, saya menyeru umat Islam seluruh negara bertindak berlandaskan ukhwah kerana kita mempunyai saluran yang betul,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan