HALAMAN SANTAI

Khamis, 21 Januari 2010

Perang terhadap keganasan tidak boleh dimenangi melalui senjata canggih: Dr M

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Perang terhadap keganasan, yang kuasa-kuasa di Barat akui sedang lancarkan, tidak boleh dimenangi dengan menggunakan senjata canggih dan mahal yang dikeluarkan kilang perindustrian di Barat, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini.

Beliau berkata perang yang perlu bagi perkara seumpama itu adalah perang gerila dan hanya boleh dimenangi dengan cara memenangi hati dan minda orang ramai.

"Perang gerila tidak boleh dimenangi oleh tentera darat, tentera laut dan tentera udara yang dilengkapi senjata canggih pemusnah. Dunia masih belum menyedari perkara itu lagi. Gerila sentiasa menang pada akhirnya," katanya dalam ucaptama pada Persidangan Am Bagi Menyokong Al-Quds di sini.

Memberikan contoh perang Vietnam, beberapa perang menuntut kemerdekaan daripada penjajah dan krisis yang sedang berlaku di Iraq dan Afghanistan, Dr Mahathir berkata kerajaan mungkin mengaku kalah tetapi gerila akan terus berjuang.

Katanya kemelut yang melanda dunia pada hari ini adalah berpunca daripada penjajahan barat di masa lepas apabila mereka tanpa rasa bersalah telah menggariskan sempadan yang telah memisahkan rakyat dan mengubah demografi dengan memindahkan sejumlah besar orang untuk menduduki tanah orang lain.

"Jika mereka memilih untuk menjadikan setiap orang Islam sebagai suspek pengganas, mereka perlu menerima hakikat yang mereka mempunyai 1.6 bilion musuh yang berada di setiap ceruk dunia," katanya.

Namun beliau menegaskan bahawa jika kuasa-kuasa Barat memilih untuk menghapuskan punca utama kepada keganasan dan pembunuhan secara sembarangan pada masa kini, dengan itu wujud peluang baik bahawa dunia akan menjadi selamat semula.

Bekas Perdana Menteri yang menyentuh secara panjang lebar mengenai sejarah perjuangan rakyat Palestin, berkata satu daripada ketidakadilan paling besar yang telah dilakukan ialah pengambilan tanah Palestin untuk diberikan kepada Yahudi untuk mewujudkan negara Israel.

Dalam perampasan tanah rakyat Palestin untuk menubuhkan tanah air bagi Yahudi, Barat telah melancarkan perang gerila pembebasan yang paling lama dan terbesar, katanya.

"Barat telah melakukan kesilapan paling besar dengan berbuat demikian. Ia terus melakukan kesilapan sama dengan menyokong sebuah negara yang tidak mematuhi amalan dan undang-undang antarabangsa," katanya.

Katanya dunia perlu menumpukan terhadap puncanya dan prihatin terhadap penderitaan rakyat Palestin.

"Penderitaan yang ditanggung rakyat Palestin yang telah dipaksa hidup di khemah-khemah primitif selama lebih enam dekad lepas. Penafian terhadap hak mereka untuk kembali ke Palestin bagi menuntut semula tanah mereka yang telah dirampas."

Beliau juga berkata dunia pada hari ini telah dibuat untuk berasa tidak selamat kerana setiap orang perlu memerangi keganasan.

"Berbilion dollar dibelanjakan untuk memerangi keganasan. Perjalanan udara, khususnya yang paling terjejas dengan kerajaan dan syarikat penerbangan kerugian berbilion dollar akibat kemerosotan perjalanan udara," kata Dr Mahathir yang turut melahirkan kekecewaan dengan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama yang telah tidak menunaikan janji yang dibuatnya pada pilihan raya.

"Beliau berjanji untuk keluar dari Afghanistan tetapi berakhir dengan menghantar lebih banyak anggota tentera ke sana. Beliau berjanji menutup penjara Guantanamo tetapi beliau tidak menutup Guantanamo. Malahan perkara lain juga beliau tidak mampu lakukan," katanya.

Tiada ulasan: