DETIK DAILY
KEBANYAKAN masyarakat kita membicarakan tentang kegagalan kempen anti merokok dalam laporan khas akhbar semalam. Oleh itu, kerajaan perlu mengkaji semula dana yang diperuntukkan bagi menjayakan kempen anti merokok.
Apakah berbaloi RM20 juta wang rakyat dikeluarkan untuk kempen 'Tak Nak' sejak 2004 hingga 2009 tetapi hasilnya hanya dapat 'merawat' 1,250 perokok daripada 5,000 orang yang mendaftar di Klinik Berhenti Merokok? Banyak kalangan rakyat mungkin kecewa dengan pendedahan laporan khas itu semalam.
Paling mengejutkan kita ialah pertambahan bilangan perokok dari kalangan kanak-kanak bawah 18 tahun. Begitu juga peningkatan golongan wanita termasuk yang bertudung turut merokok - suatu yang mengejutkan.
Semakin kerajaan menggerakkan kempen anti merokok dan menaikkan harga rokok, kian bertambah pula bilangan perokok di negara ini.
Kalau kajian Kementerian Kesihatan mendapati 45 hingga 50 pelajar sekolah menjadi perokok baru setiap hari, mampukah kita melawan arus pengaruh rokok ini?
Jadi, elok kerajaan menilai semula kos daripada segi tenaga, masa dan wang ringgit yang dikeluarkan untuk membiayai perokok di 270 klinik khas untuk membantu mereka menghentikan tabiat yang merosakkan kesihatan diri itu.
Jika trend perokok terus meningkat di negara ini maka lebih baik ditutup sahaja klinik tersebut. Kepada perokok tegar yang ingin menghentikan tabiat tersebut, mereka boleh mendapatkan khidmat nasihat melalui saluran biasa dengan bertemu doktor pakar di hospital kerajaan.
Malah jika perlu, kerajaan hentikan sahaja semua bentuk kempen anti merokok. Sebaliknya pihak berkuat kuasa menukar pendekatan dengan melaksanakan semua peraturan yang melarang orang awam merokok di tempat awam yang telah diwartakan.
Jika selama ini langkah berlembut bagaikan di pandang sepi, maka tindakan mengeluarkan denda atau saman mungkin boleh mengajar golongan perokok terbabit.
Kerajaan perlu isytihar - masa untuk berkempen sudah berakhir dan tiba giliran penguatkuasaan.
Langkah mendidik dan menyedarkan orang ramai mengenai bahaya merokok seperti gambar ngeri pada kotak rokok nampaknya kurang berkesan. Tidak ramai perokok berasa insaf, sebaliknya bilangannya kian bertambah.
Sekarang, Malaysia mempunyai lebih tiga juta perokok. Golongan ini tidak akan peduli usaha kerajaan untuk melahirkan rakyat yang sihat. Mereka tidak pandang kempen demi kempen adalah untuk menyedarkan mereka tentang bahaya rokok.
Hakikatnya, segala bentuk kempen untuk mendidik sudah tidak berkesan. Perokok negara kita sudah 'tidak makan nasihat.'
Merokok sudah menjadi hak peribadi walaupun ia turut menjejaskan kesihatan orang di sekeliling. Lihat di sekitar, masih ramai rakan kita yang tidak berhenti merokok biarpun harga minimum RM6.20 sekotak rokok 20 batang telah dikuatkuasakan sejak 1 Januari lalu.
Apakah menaikkan harga rokok yang tinggi sehingga RM30 untuk sekotak rokok 20 batang boleh menjadi faktor utama mencegah dan menghentikan tabiat merokok?
Mungkin berkesan, mungkin tidak malah mengundang fenomena lain dalam kitaran masalah sosial. Jadi apakah pilihan yang ada untuk menghentikan tabiat merokok?
Petikan: Utusan Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan