HALAMAN SANTAI

Jumaat, 22 Januari 2010

Pro-M dakwa UPM salah guna kuasa anjur program

Jimadie Shah Othman


Kumpulan Pro-Mahasiswa (Pro-M) Universiti Putra Malaysia (UPM) mendakwa berlakunya salahguna kuasa dalam pentadbiran universiti berkenaan berhubung dalam penganjuran program bina sahsiah dua minggu lalu.

Dakwaan itu terkandung dalam satu memorandum yang diserahkan kepada NGO - Gerakan Rakyat Integriti dan Anti Korupsi Malaysia (GERAK) - pagi ini.

Mereka mendakwa kursus tiga hari itu hanya melibatkan pemimpin kumpulan Pro-Aspirasi (Pro-A) dan pihak yang tidak berkenaan.

"Program tersebut direkodkan dihadiri oleh (ahli) Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Pro-Aspirasi dan pegawai-pegawai Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) beserta keluarga," demikian menurut memorandum 11 halaman itu.

Memorandum tersebut, yang disediakan pengerusi Pro-M UPM, Ahmad Faris Rakbi, antaranya mendakwa pihaknya mempunyai rekod berkaitan program tersebut, termasuk resit pembayaran dan senarai kehadiran di program berkenaan yang diadakan di sebuah hotel di Sepang.

Pengerusi Gerak, Mohd Nazree Mohd Yunus ketika dihubungi Malaysiakini berkata, dakwaan kumpulan pelajar berkenaan "mempunyai asas".

Sehubungan itu, tambahnya, GERAK akan membantu menangani perkara itu, termasuk menulis surat kepada pihak pentadbiran UPM bagi mendapatkan penjelasan.

"Saya juga mencadangkan mereka mengadukan perkara ini kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) kerana hak mereka mengikuti program universiti dinafikan," katanya.

Ditanya sama ada kumpulan tersebut hanya mahu menjadikan perkara itu sebagai kempen pilihan raya kampus minggu depan, Mohd Nazree berkata:

"Kalaupun ia berkaitan dengan pilihan raya kampus, tetapi asas dakwaan itu ada".

Kempen pilihan raya universiti berkenaan akan bermula selepas penamaan calon pada jam 4 petang ini. Hari pengundian ditetapkan pada 26 Januari depan.

Tiada ulasan: