BERITA HARIAN ONLINE
BALING: Tabung Haji memberi keutamaan kepada mereka yang berusia 70 tahun ke atas untuk menunaikan fardu haji pada musim depan bagi mengelak kumpulan berkenaan dibebani keuzuran ketika menjalani ibadat itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata tindakan itu juga bertujuan mengelak lebih ramai pemohon terpaksa menunggu terlalu lama, apatah lagi dengan senarai menunggu yang kini mencecah puluhan ribu.
Katanya, semakan rekod Tabung Haji menunjukkan lebih 25,000 pemohon berada dalam senarai menunggu dan jumlah itu tidak termasuk permohonan baru yang semakin meningkat dari semasa ke semasa.
“Kita juga sedang berbincang dengan kerajaan Arab Saudi untuk mendapat penambahan kuota sementara, iaitu bagi tempoh tiga hingga empat tahun untuk menyelesaikan masalah senarai menunggu.
“Jika rundingan berhasil, bukan saja masalah senarai menunggu atau penantian terlalu lama bakal jemaah haji dapat diselesaikan, malah isu jemaah menunaikan haji dalam kelompok tercicir juga dapat ditangani,” katanya kepada pemberita, di sini, semalam.
Terdahulu beliau merasmikan Majlis Permuafakatan Sehari Bersama Warga Felda Teloi Kanan, dekat Kuala Ketil, di sini.
Sementara itu, ketika berucap pada majlis itu Jamil berkata, masyarakat berbilang kaum perlu menyokong konsep muafakat di kampung atau kawasan perumahan dalam usaha merealisasikan konsep 1Malaysia.
Katanya, permuafakatan itu mampu menolak sebarang agenda jahat yang bertujuan memecahbelahkan perpaduan dan amalan itu yang diwarisi sejak sekian lama perlu dipertahankan.
"Konsep 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak sukar menjadi kenyataan kerana rakyat semua kaum sudah biasa hidup dengan mengamalkan konsep muafakat," katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan