HALAMAN SANTAI

Rabu, 6 Januari 2010

Tindakan tegas kepada ibu bapa remaja rempit

BERNAMA


Polis akan mengambil tindakan lebih tegas terhadap ibu bapa atau penjaga remaja bawah 18 tahun yang terlibat dalam aktiviti mat rempit dan samseng jalanan, kata Ketua Polis Perak Datuk Zulkifli Abdullah hari ini.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan jabatannya di Ipoh, Zulkifli berkata polis akan segera memanggil dan meminta ibu bapa berkenaan agar mengambil langkah-langkah sewajarnya terhadap anak mereka termasuk memberi amaran keras kepada anak-anak itu.

Beliau berkata usaha menangani gejala mat rempit dan samseng jalanan dengan penguatkuasaan undang-undang tidak mencukupi tanpa kerjasama ibu bapa.

Kes samseng jalanan serta kegiatan mat rempit yang mengganggu ketenteraman awam mencatatkan peningkatan di Perak pada tahun lepas dengan penangkapan sebanyak 59 orang berbanding 30 pada 2008, kata Zulkifli.

Beliau bagaimanapun berkata peningkatan tangkapan itu terutama membabitkan remaja telah membawa hasil positif apabila tempat-tempat aktiviti samseng jalanan di negeri ini telah berkurangan.

Tiada ulasan: