HALAMAN SANTAI

Selasa, 5 Januari 2010

UM didakwa amal kronisme lagi!




Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR: Universiti Malaya (UM) sekali lagi dilihat seolah-olah mengamalkan kronisme apabila seorang staff akademiknya, Profesor Madya Dr. Mohd Salleh Aman dipertikai kerana menjawat dua jawatan penting pentadbiran pada satu-satu masa.

Pertikaian tersebut merupakan kali yang kedua, selepas Naib Canselor Profesor Datuk Dr. Gauth Jasmon dilaporkan melantik Dr. David Asirvatham dan Dr. David Ngo Chek Leng masing-masing sebagai Pengarah Pusat Teknologi Maklumat (PTM) dan Dekan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM) dengan tidak melalui temuduga Universiti.

Sumber dalaman Universiti memberitahu pelantikan Mohd Salleh memegang kedua-dua jawatan penting pentadbiran - Pengetua bagi Kolej Kediaman Ketujuh (KK7) dan Timbalan Pengarah Pusat Sukan adalah bercanggah dengan piawaian perjawatan Universiti.

Jelas sumber itu lagi, kedudukan Mohd Salleh yang mendapat sokongan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (TNC HEPA) menyebabkan beberapa pertikaian dalaman tidak menemukan jalan keluar.

Suatu sumber lain memberitahu bahawa Mohd Salleh turut menyalahgunakan wang perbendaharaan Kolej Kediaman Ketujuh (KK7) untuk kepentingan peribadi dan keluarganya.



Berdasarkan slip penginapan di Hotel Le Meridien, Kota Kinabalu dihantar kepada Harakahdaily, didapati Mohd Salleh sekeluarga didakwa menginap menggunakan wang peruntukan dana khas Orang Kurang Upaya (OKU) dari kolej tersebut.

Selain Aman sekeluarga, Felonya Nik Norshafini Nik Ismail turut didakwa menyeleweng kerana membawa suaminya, Hanif Nassir menggunakan dana KK7.

Le Meridian yang dihubungi kemudian memberitahu, harga pasaran dua kamar yang Mohd Salleh sekeluarga menginap adalah RM815.00.

Manakala, harga pasaran bagi kamar yang Nik Norshafini bersama-sama suaminya menginap adalah sekitar RM555.00 hingga RM705.00.

Mohd Salleh yang dihubungi semalam terus mematikan telefon bimbitnya, sejurus Harakahdaily meminta maklum balas berhubung beberapa dakwaan tersebut.

Beliau sekali lagi dihubungi pagi tadi, namun gagal.

Seorang Exco Majlis Perwakilan Mahasiswa UM (MPMUM) yang dihubungi kemudian berkata, kes berkaitan Salleh Aman ini masih belum dilaporkan kepada pihaknya.

Pun begitu, beliau menjelaskan bahawa pihaknya sedang menyiasat beberapa isu kronisme yang lain dalam bahagian HEPA sendiri.

Dalam perkembangan berkaitan, dilaporkan Gauth telahpun menafikan dakwaan kronisme oleh Ahli Parlimen Padang Terap Mohd Nasir Zakaria berhubung pelantikan dua stafnya pada pertengahan Disember tahun lalu.

Tiada ulasan: