HALAMAN SANTAI

Selasa, 19 Januari 2010

Undang-undang berkaitan internet dipertingkatkan - Rais

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim menegaskan, penguatkuasaan undang-undang berkaitan Internet telah ditingkatkan berdasarkan perkembangan terbaru tanah air.

Dengan peningkatan pemerhatian dan penguatkuasaan itu kata beliau, individu yang didapati melanggar undang-undang seperti menulis komen menghasut atau mengugut di Internet akan dikenakan tindakan tegas.

''Ramai menyangka mereka akan terlepas daripada tindakan undang-undang apabila menghantar komen bersifat menghasut atau berita palsu.

''Jadi masanya telah tiba untuk kerajaan bertindak tegas dengan meningkatkan (penguatkuasaan) undang-undang berkaitan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Kebangsaan Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) kementerian itu di sini hari ini.

Rais menambah, kerajaan kini serius menangani jenayah di Internet demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan negara terpelihara.

Katanya, ini terbukti dengan pendakwaan pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Mohamad Tasyrif Tajudin, 25, di mahkamah Jumaat lalu atas tuduhan menulis komen berbentuk ugutan di laman sosial Facebook berhubung isu kalimah Allah.

Sementara itu kata beliau, kementeriannya menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bersedia mengambil tindakan ke atas portal berita Malaysia Today kerana menyebarkan berita palsu mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Tindakan undang-undang juga katanya, boleh diambil ke atas penghantar komen bersifat menghasut sekiranya ia dilakukan dari dalam negara.

Namun jelas beliau, tindakan undang-undang sukar dikenakan ke atas mereka yang menghantar komen di Internet menerusi pelayan web dari luar negara.

Dalam perkembangan berkaitan kata Rais, pegawai Jasa bertanggungjawab menangkis segala tohmahan terhadap gagasan 1Malaysia oleh golongan yang mempunyai kepentingan politik.

Lebih 1,000 pegawai Jasa menyertai perhimpunan itu yang bermula hari ini sehingga Rabu ini.

Tiada ulasan: