SINAR HARIAN ONLINE
KOTA BHARU - Kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang menolak cadangan Pas untuk melaksanakan undang-undang Islam di negara ini adalah pandangan peribadi pemimpin itu, kata Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Menurutnya, suara-suara sumbang yang timbul mengenai hukum hudud adalah pendapat peribadi dan bukan kenyataan rasmi parti itu.
“Senang sahaja...usahkan Karpal, orang Melayu pun ada yang tolak. Susah apa. Jadi, bukan sesuatu yang pelik. Islam ini bergerak dengan penerangan. Terpulang kepada individu itu sendiri sama ada dia mahu menerima atau tidak.
“Kalau hati dia terbuka dia akan terima kalau tidak...dia tidak akan terima. Macam Sayidina Abu Bakar As-Siddiq dan Abu Jahal. Mereka sama tetapi hati Abu Bakar boleh menerima,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Pulau Melaka, di sini semalam.
Nik Abdul Aziz berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Karpal yang tidak bersetuju dengan cadangan beliau pada Khamis lepas.
Karpal dilaporkan berkata, beliau tidak bersetuju dengan cadangan Nik Abdul Aziz bahawa cara terbaik menangani masalah jenayah dan sosial ialah meminda undang-undang sivil dan digantikan dengan undang-undang hudud.
Karpal berkata, partinya tidak dapat menerima sebarang bentuk pelaksanaan hudud di negara ini dan menyifatkan Perlembagaan Persekutuan hanya membenarkan Kanun Keseksaan dan undang-undang sivil lain dan tidak ada ruang untuk undang-undang hudud.
Nik Abdul Aziz berkata, sehingga kini pemimpin DAP lain hanya berdiam diri sebab itulah beliau menyifatkan pendapat yang dikeluarkan Karpal itu sebagai pandangan peribadi.
“Setakat ini pemimpin DAP lain senyap. Hanya dia yang timbulkan isu itu. Ini kerana apa yang ditimbulkan oleh pemimpin DAP itu adalah pendapat perseorangan dan bukannya keputusan parti,” katanya.
Nik Abdul Aziz yakin Karpal menentang hukum hudud kerana tidak mendapat penerangan jelas mengenainya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan