PETALING JAYA: Benarkah Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), PKR hanya bertindak dalam kes tertentu sahaja dan tidak dalam kes lain?
Keadaan ini mendorong Ketua AMK Rasah, Zamri Vinoth menyamar sebagai ‘pengundi hantu’ bagi menarik perhatian JPP tersebut.
"Sememangnya saya lakukan supaya ditahan dengan harapan dipanggil untuk siasatan dan ini peluang terbaik berdepan dengan JPP dan membangkitkan banyak kepincangan," kata Zamri Vinoth dalam satu kenyataan medianya semalam.
Bagaimanapun, beliau kecewa apabila tidak dipanggil mengadap JPP walaupun setelah dua minggu dari peristiwa ‘tangkapan’ tersebut berlaku.
Sebaliknya, beliau mendakwa telah menerima panggilan telefon dari JPP yang cuba mendorong beliau membuat pengakuan palsu yang bertujuan memburukkan imej calon Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Badrul Hisham Shaharin.
"Namun setelah dua minggu saya menanti tidak ada sebarang panggilan untuk saya menghadap JPP kecuali beberapa panggilan telefon dari JPP.
"Ada juga yang menelefon saya meminta pengakuan saya melakukan kerana diarah atau dibayar oleh chegu Bard," kata beliau.
Zamri juga mendakwa dalam perbualan dengan salah seorang JPP dimana JPP itu tidak dapat menjawab beberapa persoalan yang saya bangkitkan, sebaliknya mengecam dan mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan.
“Vinoth, you better watch out!” Selepas itu terus meletak telefon dan terus tidak menjawab panggilan saya lagi," menurut kenyataan Zamri itu lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mempersoalkan kenyataan calon Ketua AMK, Shamsul Iskandar Md Akin yang mempertikaikan keputusan cabang Tampin yang menyebelahi Chegu Bard.
Sebaliknya, beliau hanya mendiamkan diri terhadap keputusan cabang lain yang menyebelahinya.
Dalam kenyataan akhbar tersebut, Zamri turut mendedahkan penyelewengan yang berlaku ketika pencalonan dan pengundian di cabang Tampin, Kubang Pasu dan Kota Raja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan