HALAMAN SANTAI

Selasa, 16 November 2010

Kursus motivasi diteruskan di Selangor seperti biasa, kata ESQ



Paparan laman ESQ Malaysia pada hari ini.
KUALA LUMPUR — ESQ Leadership Center menegaskan kursus motivasi kepimpinan anjuran syarikat itu diteruskan seperti biasa di Selangor tanpa sebarang halangan daripada Jabatan Mufti Selangor.

Malah Pengurus Besar ESQ cawangan Malaysia Marhaini Yusoff berkata, Majlis Fatwa Selangor yang bermesyuarat pada 21 September lalu turut memutuskan kursus motivasi kepimpinan ESQ boleh diteruskan di negeri itu.

Menurut Marhaini, dalam mesyuarat tersebut pihaknya telah menjelaskan beberapa perkara yang menimbul keraguan termasuk berhubung buku ESQ yang selama ini banyak menjadi pertikaian.

“Kita telah dipanggil pada 21 September lalu dan kita telah menjelaskan beberapa perkara yang telah menimbulkan keraguan termasuk dari aspek penerbitan buku ESQ.

“Dalam pertemuan itu kita jelaskan empat perkara yang menjadi keutamaan iaitu mengenai buku ESQ yang mana kita tidak lagi mengedarkan buku-buku edisi lama kepada peserta program ataupun menjualnya di pasaran sejak Ogos lalu,” katanya.

Keduanya kata beliau, mengenai buku yang masih berada di pasaran ESQ tidak mempunyai kuasa untuk menarik balik kesemua buku tersebut, malah kita telah minta Kementerian Dalam Negeri menyekat kemasukan buku-buku ESQ dari luar.

“Ketiga mengenai terjemahan yang kita gunakan ketika kursus yang mana kita diarahkan untuk berpandukan terjemahan al-Quran pimpinan Rahman terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan kita telah ikut sejak Julai lalu dan keempat mengenai rujukan daripada hadis, kita diarahkan untuk berpandukan hadis terjemahan di Malaysia namun panel syariah kita menghadapi kekangan kerana masih banyak hadis yang masih belum diterjemahkan ke bahasa Malaysia,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Sehubungan itu, Marhaini berkata, dalam mesyuarat itu Majlis Fatwa Selangor membuat keputusan kursus motivasi kepimpinan anjuran ESQ boleh dijalankan di Selangor tanpa halangan.

“Dalam pertemuan itu, kita telah jelaskan semua keraguan yang timbul, malah Jabatan Mufti Selangor juga tiada halangan untuk ESQ meneruskan kursus motivasi di Selangor.

“Apa-apa jika ada percanggahan lebih baik bertanyakan kepada Mufti Selangor (Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid) dan juga Dr Halimah Ali (Exco Kerajaan Negeri Selangor),” katanya.

Pada sidang Dewan Undangan Negeri semalam, Dr Halimah berkata, negeri itu telah membekukan penganjuran kursus motivasi kepimpinan ESQ di negeri itu ekoran keputusan Majlis Fatwa negeri mahu memperbetulkan “keraguan” mengenai beberapa elemen program yang berasal dari Indonesia itu.

“Selepas Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan memutuskan latihan ESQ telah melencong (dari ajaran Islam), kerajaan negeri telah membekukan program itu,” kata Exco Kerajaan Negeri Dr Halimah Ali pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

“Majlis Fatwa Selangor telah membuat keputusan bahawa pengurusan ESQ perlu melakukan perubahan atau dengan cepat perbetulkan fakta, kenyataan atau sebarang aktiviti yang boleh menimbulkan keraguan termasuk buku yang dikeluarkan ESQ atau selepas latihan,” tambahnya.

Isu ESQ menjadi kontroversi setelah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan mengharamkan modul latihan kursus motivasi anjuran syarikat itu pada 17 Jun lepas selepas mendakwa ajarannya menyeleweng daripada akidah dan syariat Islam.

“Ketika mesyuarat pada 21 September lalu, Majlis Fatwa Selangor juga memutuskan bahawa ESQ mesti menarik balik kesemua edisi lama buku mereka dari kedai-kedai buku dan juga artikel-artikel dan bahan-bahan lain yang diedarkan kepada peserta kursus sebelum programnya boleh disambung semula di negeri itu”, kata Dr Halimah.

“Mesyuarat juga memutuskan bahawa tiada halangan bagi mana-mana badan atau agensi di Selangor untuk mengikuti kursus latihan kepimpinan ESQ selepas pengurusan ESQ mengambil tindakan-tindakan itu,” kata beliau.

Pada Julai lalu, Majlis Fatwa Kebangsaan telah memutuskan bahawa kursus ESQ itu boleh dilaksanakan di negara ini dengan pengawasan sepenuhnya oleh panel syariah yang dilantik oleh ESQ.

Setakat ini Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah melarang penganjuran kursus motivasi kepimpinan ESQ.

Pada 14 Julai lalu, Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan memutuskan bahawa kursus Latihan Kepimpinan ESQ boleh dilaksanakan di negara ini dengan pengawasan sepenuhnya oleh panel syariah yang dilantik oleh ESQ.

Tiada ulasan: