HALAMAN SANTAI

Isnin, 1 November 2010

PAS anggap saguhati pengundi luar bukan sogokan, tapi akur nasihat SPR


GUA MUSANG — Sambil mengulangi langkah menawarkan saguhati perjalanan sehingga RM250 kepada 1,557 pengundi luar Galas bukan satu sogokan, PAS memberi jaminan tidak akan melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya jika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menganggap ia satu kesalahan.

Bagaimanapun calon Barisan Nasional (BN) Abdul Aziz Yusoff mendakwa ia sebagai satu langkah terdesak PAS untuk mendapatkan undi pada pilihan raya kecil Galas Khamis ini.

“Kalau SPR kata tidak boleh, maka kita tidak akan bagi (wang) kepada pengundi (luar) ini.

“Lagipun kita belum bagi lagipun, kita hanya akan bagi selepas hari pengundian bukan sebelum,” kata Pengarah Pilihan Raya PAS pusat Datuk Halim Abdul Rahman.

“PAS tidak akan melanggar mana-mana Akta Kesalahan Pilihan Raya, kalau SPR kata tidak boleh kita akan ikut,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Beliau memberi jaminan PAS akan menghormati keputusan SPR dan tidak akan langgar akta tersebut.

Bagaimanapun Halim yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa berkata, walaupun PAS tidak akan membiayai kos pengangkutan itu, namun mungkin ada badan sukarelawan yang akan membiayainya.

“PAS akan ikut arahan yang dikeluarkan SPR, tapi saya tidak tahu kalau ada badan atau sukarelawan lain yang membiayi kos pengangkutan pengundi luar ini.

“Bagi PAS kita akan ikut, lagipun duit yang membiayai kos pengangkutan itu tidak semestinya datang daripada kita. Mungkin ada orang lain yang akan menampung kos tersebut,” kata beliau yang petang semalam berada di Kuala Lumpur bagi menghadiri program anjuran Persatuan Anak-anak Kelantan Perantauan.

Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata tindakan PAS menawarkan bayaran sehingga RM250 kepada pengundi luar pulang mengundi pada pilihan raya kecil DUN Galas, Khamis ini sebagai satu bentuk sogokan dan menyalahi undang-undang.

Wan Ahmad berkata tindakan PAS itu bercanggah dengan Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan boleh ditafsir dengan tujuan memancing undi.

“Tindakan PAS itu merupakan perbuatan sogokan dan menyalahi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan ia boleh ditafsir dengan bertujuan untuk memancing undi,” kata beliau sambil menasihatkan agar PAS berhati-hati.

Kelmarin, Halim berkata parti itu akan membayar wang sehingga RM250 kepada seramai 1,557 pengundi berdaftar di DUN Galas yang berada di luar kawasan bagi menampung kos perjalanan pulang mengundi.

Halim berkata, pemberian wang berkenaan bukanlah satu bentuk rasuah, sebaliknya insentif bagi menarik minat pengundi untuk pulang menunaikan tanggungjawab mereka.

Selain Halim, Penasihat Jentera Pilihan Raya PAS DUN Galas Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, ia sudah menjadi amalan biasa dalam parti itu untuk menarik minat pengundi supaya pulang untuk menjalankan kewajiban.

Pengundi yang berada di Johor akan dibayar RM250 seorang dan Lembah Klang pula RM200 manakala di sekitar Kelantan dibayar mengikut jarak perjalanan.

“Kita berjanji lepas mereka mengundi, kita akan bayar kepada mereka,” katanya Wan Rahim.

DUN Galas menyaksikan pertarungan satu lawan satu di mana BN Abdul Aziz, Setiausaha Umno Gua Musang manakala PAS meletakkan pemangku Yang Dipertua PAS Gua Musang Dr Zulkefli Mohamad.

Dalam pada itu, Abdul Aziz Yusoff menyifatkan PAS semakin terdesak untuk meraih undi sehingga sanggup menawarkan RM250 kepada pengundi luar pulang mengundi pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Galas.

Sehubungan itu, Abdul Aziz berkata ia merupakan langkah terakhir PAS untuk mengekalkan kecil Galas.

“Saya rasa PAS mungkin berada dalam keadaan terdesak untuk meraih undi kerana melihat sokongan pengundi kepada BN semakin bertambah.

“Justeru itu PAS cuba menarik pengundi-pengundi luar menyokong mereka dengan menawarkan RM250 supaya balik mengundi.

“Jadi saya rasa ini adalah satu usaha yang terakhir PAS untuk mencapai kemenangan dalam pilihan raya kecil DUN Galas,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Tambah Abdul Aziz, beliau menyerahkan keputusan sama ada untuk mengambil tindakan diserahkan kepada pucuk pimpinan parti.

“Saya serah kepada parti sama ada mahu ambil tindakan atau tidak. Saya hanya akan buat tugas saya sahaja,” jawabnya ringkas.

Abdul Aziz yang juga Setiausaha Umno Gua Musang berkata kempen yang sudah masuk hari keenam menyaksikan sokongan pengundi kepada BN.

“Saya rasa semakin hari semakin yakin kerana sokongan pengundi semakin bertambah.

“Kita boleh capai kemenangan dalam pilihan raya kecil DUN Galas ini,” katanya.

Tiada ulasan: