KUCHING — Barisan Nasional (BN) Sarawak akan membentang usul membanteras amalan politik ‘kotor’ yang cuba dibawa pembangkang ke negeri ini, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-16 yang akan bermula esok.
Speaker Datuk Seri Mohamad Asfia Awang Nassar berkata usul berkenaan akan dibentangkan Ketua Kelab Penyokong BN Negeri Abdul Karim Rahman Hamzah (BN-Asajaya) dan disokong oleh Andy Chia (BN-Pujut).
“Budaya ‘kotor’ politik pembangkang kini telah menular di sini (Sarawak) harus dihentikan segera dan menerusi pembentangan usul ini, diharapkan rakyat akan dijauhkan daripada amalan fanatik kepartian itu,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas Mesyuarat Prapersidangan DUN dan mesyuarat Majlis Tertinggi BN negeri di ibu pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Jalan Bako petang ini.
Katanya, pembentangan usul itu juga untuk memulihara dan melindungi keharmonian politik dan rakyat berbilang bangsa dan agama di negeri ini.
Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud merangkap Pengerusi BN Negeri mempengerusikan mesyuarat empat jam itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan