KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan menyeru seluruh rakyat negara ini bersatu menolak Umno BN demi menyelamatkan wang rakyat dan harta negara dari penyelewengan.
Setiausahanya Ustaz Azhar Yahya berkata, rasuah dan penyelewengan harta negara hanya boleh dibendung dengan menjatuhkan Umno BN dalam pilihanraya yang akan datang.
“Rakyat Malaysia perlu bersatu untuk menumbangkan Umno BN dalam pilihanraya yang akan datang demi memastikan duit dan harta rakyat Malaysia selamat.
"Bayangkan sekiranya duit yang berbilion yang tiris dan bocor kerana rasuah itu digunakan untuk kegunaan manfaat rakyat, maka InsyAllah negara Malaysia lebih maju lagi,” tegas beliau.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Transparency International Malaysia (TI-M) bahawa kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) jatuh dari tangga 56 pada tahun lalu kepada 60 tahun ini.
Ianya juga merupakan kejatuhan kali ketiga berturut-turut sejak 2009.
Bagi Azhar, ianya sesuatu yang memalukan lebih-lebih lagi Malaysia sebagai salah sebuah negara yang menganggotai OIC.
Kerajaan BN yang sedia ada ini pula ujarnya tidak mampu lagi menangani gejala yang semakin membarah itu walaupun cuba menggunakan pelbagai slogan menggambarkan penentangan mereka terhadap rasuah.
“Satu-satunya cara untuk memerangi gejala rasuah ialah dengan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar dan bukannya menggunakan hanya apabila tersempit sahaja," katanya. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan