Oleh Aedi Asri
KUALA LUMPUR: Media arus perdana terlalu dikongkong dan
mengikut telunjuk kerajaan dalam membuat laporan, kata Kesatuan
Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJ).
Setiausaha Agungnya, V Anbalagan berkata, ia ternyata bercanggah
dengan prinsip kewartawanan, yang menuntut laporan dibuat secara adil
dan seimbang.
“Media arus perdana terlalu dikongkong, sehingga berita alternatif
dan berbeza tidak sampai kepada rakyat,” katanya kepada Keadilan Daily
mengulas laporan berat sebelah media arus perdana berkenaan himpunan
Bersih 3.0 Sabtu lalu.
Anbalagan berkata, tindakan itu juga tidak adil kepada pembeli akhbar
berkenaan, yang mengeluarkan wang sendiri tetapi tidak mendapat
gambaran sebenar semasa himpunan tersebut.
“Akhirnya, pembaca tidak percaya lagi dengan akhbar arus perdana, dan mereka akan lari kepada akhbar alternatif,” katanya lagi.
Ini disebabkan laporan mereka bertumpu kepada insiden kekecohan sepanjang perhimpunan tempoh hari.
Kesalahan juga diletakkan sepenuhnya ke atas peserta, tanpa menyentuh
keganasan polis yang membelasah dan menangkap beratus peserta yang
tidak bersalah.
Sempena Hari Kebebasan Media Sedunia semalam, Anbalagan berharap tugas wartawan lebih dihormati.
Justeru, katanya, wartawan perlu menilai sendiri adakah berita yang ditulis mengikut prinsip kewartawanan atau tidak.
“Mereka juga harus berkerja mengikut prinsip agama, dan semua agama
menyeru kita berlaku adil dan menegakkan kebenaran,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan