oleh zaminc
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Ramai
sahabat bertanya kepada saya bagaimana perhimpunan tadi. Banyak kisah
gembira dan mendukacitakan dihebahkan melalui media dan laman FB.
Saya cuba untuk menulis berdasarkan pengalaman saya di lokasi Masjid
Jamek dari jam 11 pagi ke 5 petang.
InsyaAllah saya akan cuba untuk
memberikan padangan dari semua segi agar adil buat semua pembaca nota
ini.
Ini
adalah pertama kali saya turun dalam demostrasi di Malaysia. Saya
pernah ada pengalaman turun dalam beberapa siri demostrasi di Ireland
termasuk BERSIH 2.0, demonstrasi menentang 'occupation of Gaza' dan
penindasan rakyat Syria. Kali ini saya turun sebagai sukarelawan pegawai
perubatan yang mempunyai misi membantu mana-mana insan yang
memerlukan bantuan tak kira bangsa, agama, umur mahupun peserta
ataupun polis sendiri. Kami berpakaian biasa dengan ves berwarna hijau
dengan tulisan Medical Team yang cukup mudah dikenali awam.
Saya
dan isteri tiba dalam pukul 11 pagi di Stesen Putra Masjid Jamek.
Ramai polis kelihatan mengawasi stesen berkenaan. Polis tidak menghalang
atau melakukan sebarang tindakan provokasi terhadap orang awam yang
turun walaupun ramai yang jelas memakai baju BERSIH. Apabila kami
keluar dari stesen berkenaan, kami disapa oleh seorang mak cik
lingkungan 40-an yang mengatakan bahawa nampaknya perhimpunan kali
jauh lebih aman berbanding BERSIH 2.0 dengan kerjasama yang sangat
baik dari pihak polis.
Kami
menuju ke Masjid India di mana kumpulan kami diminta berkumpul untuk
sesi 'briefing'. Masa menunggu kawan-kawan yang lain digunakan
mengambil gambar, beramah mesra dengan kawan-kawan yang hadir, membeli
air di gerai yang tak putus-putus dengan pembeli. Kumpulan yang berada
di persekitaran Masjid India saya boleh katakan semudahnya mencecah
2000 orang minimum dalam keadaan kawasan berkenaan tidaklah begitu
besar. Kelihatan mak cik-mak cik dan pak cik-pak cik lingkungan umur
60 - 70 yang turut sama hadir. Kagum! Ada juga anak-anak kecil yang
dibawa oleh ibu dan bapa. Suasana meriah seperti ada sambutan besar
sedang berlangsung.
Setelah
solat zuhur di Masjid India, kelihatan Dr Dzulkilfi Ahmad, AJK PAS
Pusat telah tiba dan bermulalah sesi ucapan ringkas daripada beliau
diikuti oleh laungan BERSIH, takbir dan sebagainya. Ketika kumpulan kami
diminta bergerak ke kawasan berhadapan Stesen Putra Masjid Jamek di
mana ketua kumpulan kami sedang menunggu.
Subhanallah!
Kumpulan
yang agak kecil pada awal tadi telah bertambah bilangannya. Saya
tidak dapat mengagak bilangan yang hadir memandangkan tidak berada
pada tempat yang tinggi untuk melihat. Tapi sejujurnya, minimum 20,000
orang berada di kawasan berkenaan. Kami mengambil masa yang sangat
lama untuk tiba di tempat berkenaan kerana perlu menempuhi lautan
manusia.
Tiba
kami di tempat Medical Unit, saya berkenalan dengan doktor-doktor dan
pengamal perubatan yang ada. Kata mereka perhimpunan kali nampaknya
jauh lebih baik. Kami menunggu di sana hingga jam 3 petang tanpa ada
apa-apa masalah. Suasana cukup baik, selang seli dengan sorakan dari
demonstran yang hadir. Kelihatan beberapa figur berada di atas pentas,
antaranya Ambiga dan DSAI.
Tiba-tiba,
kami melihat kumpulan besar itu mula bergerak menjauhi arah Dataran
Merdeka. Bau gas mula terasa, kemudian disusuli rasa pedih di muka.
Face mask dipakai dan garam dikunyah. Seorang doktor kelihatan
menyembur muka-muka demonstran dengan air bercampur antasid untuk
mengurangkan rasa sakit. Ada yang berdarah di bahagian muka terkena
canister daripada semuburan gas. Seorang demostran menghampiri saya,
katanya Unit Amal baru sahaja menghebahkan agar demonstradi bersurai
atas arahan pimpinan. Belum sempat beredar, polis telahpun mula
menyembur kumpulan demonstran dengan air asid dan gas pemedih mata tanpa
memberikan sebarang amaran.Kami mula berjalan perlahan-lahan menjauhi
kawasan yang disembur.
Tatkala
ramai yang sudah bergerak, kami ternampak seorang lelaki tua dalam
lingkungan umur 70 tahun sedang duduk kepenatan. Saya dan kawan-kawan
memimpin dia perlahan-lahan menjauhi kawasan semburan. Ada lagi
beberapa insiden di mana ada di kalangan peserta yang hadir pengsan,
sesak nafas, cederan bahagian kaki dan sebagainya. Setiap daripada
mereka dirawat sebaiknya dengan alatan perubatan yang ada.
Kami
berjalan agak jauh daripada kawasan Masjid Jamek menjauhi asap yang
pedih itu. Kami sentiasa disapa dengan baik dengan senyuman daripada
peserta. Bajunya mungkin terlalu menawan =). Sampai di satu tempat
berdekatan dengan Menara Maybank, kami duduk berehat. Kelihatan para
peserta sudah berjalan menuju pelbagai arah, menandakan perhimpunan
hampir tamat.
Jam
430 petang, kami bergerak semula ke arah Stesen Putra Masjid Jamek
dengan tujuan mengambil tren pulang ke rumah.
Tiba-tiba kedengaran teriakan manusia dan kepulan asap. Oh, masih belum tamat rupanya. Saya dimaklumkan provokasi berlaku antara polis dan beberapa demonstran. Sesiapa yang memulakannya, saya tidak pasti. Tapi saya tidak menolak kemungkinan bahawa ada demonstran yang memulakan provokasi di samping tindakan polis yang tidak henti-henti menyembur gas dan air asid.
Tiba-tiba kedengaran teriakan manusia dan kepulan asap. Oh, masih belum tamat rupanya. Saya dimaklumkan provokasi berlaku antara polis dan beberapa demonstran. Sesiapa yang memulakannya, saya tidak pasti. Tapi saya tidak menolak kemungkinan bahawa ada demonstran yang memulakan provokasi di samping tindakan polis yang tidak henti-henti menyembur gas dan air asid.
Kami
berjalan ke arah bahagian hadapan kumpulan peserta itu melalui
jalan-jalan tepi sehingga masuk ke dalam Stesen Putra. Alhamdulillah
tiada apa-apa masalah. Kami menuju ke arah Masjid India untuk bertemu
dengan ahli keluarga yang lain, tiba-tiba disapa oleh seorang peserta
yang terkena canister pada badannya. Iodin disapu pada kawasan yang luka
dan diletakkan plaster. Tiada kecederaan serius insyaAllah.
Disebabkan
ahli keluarga telahpun bergerak pulang setelah lama menunggu kami
tiba, kami pun mengambil keputusan untuk terus mengambil tren pulang ke
rumah. Pegawai polis ramai berkeliaran dalam stesen berkenaan. Mereka
kelihatan bekerjasama dengan baik dengan peserta yang ada. Tiada
provokasi berlaku. Alhamdulillah. Kami akhirnya tiba di rumah hampir
jam 6. Penat memang penat tapi saya tidak menafikan saya puas kerana
dapat hadir bersama ratusan ribu manusia membanjiri Bandaraya Kuala
Lumpur hari ini.
Saya
agak kecewa kerana tidak dapat memberikan rawatan kepada pihak polis
dan FRU jika ada yang cedera. Walaupun pandangan sisi politik kita
berbeza, insyaAllah disiplin profesionalime seorang doktor saya akan
jaga sepenuhnya. Teringin untuk bersama peserta melaung slogan-slogan
tapi atas dasar profesionalisme, Alhamdulillah saya dapat mengekalkan
'non-partisan' saya dalam himpunan hari ini.
Pandang sisi saya :
1.
Saya cukup kecewa kerana demonstrasi ini tidak dibenarkan untuk masuk
ke Dataran Merdeka. Bagi saya, jika ia dihalalkan oleh pihak berkuasa,
banyak perkara yang tidak diingini tidak akan berlaku.
2.
Sewajarnya pihak berkuasa memberikan sahaja permit berkumpul dan bagi
saya wajar diletakkan syarat-syarat berdasarkan perbincangan dengan
pihak penganjur. Sebagaimana di luar negara, di samping anggota polis
yang cukup membantu, tanpa provokasi langsung, syarat-syarat seperti
masa yang dibenarkan untuk demonstrasi, tanggungjawab penganjur terhadap
apa-apa kesalahan peserta termasuk mengotorkan tempat dan sebagainya.
3.
Keadaan aman di lokasi-lokasi tadi menyebabkan saya hairan akan
keamanan perhimpunan hari ini sehinggalah polis mula menyembur gas dan
air asid. Bagi saya, walaupun perhimpunan kali masih dikategorikan
sebagai haram oleh pihak berkuasa, kalaulah polis meminta dengan baik
daripada pimpinan perhimpunan untuk bersurai, saya meyakini ia tidak
akan berakhir sedemikian rupa.
4.
Apabila polis mula menyembur air asid dan gas pemedih mata, bermula
bibit-bibit provokasi dan keganasan. Saya tidak menolak bahawa ada
kemungkinan demonstran yang terlibat dalam aksi keganasan ini mungkin
diupah untuk berbuat demikian untuk memburukkan keadaan namun saya juga
tidak menolak kemungkinan yang lebih besar iaitu ia memang aksi
demonstran pro BERSIH. Saya difahamkan ada dikalangan mereka yang tidak
mahu menuruti arahan pimpinan agar tidak terlibat dalam perihal
berkenaan. Siapa mereka? Wallahua'lam. Apa-apapun jika benar demonstran
berkenaan memulakan provokasi, pimpinan BERSIH wajar bertanggungjawab.
5.
Saya tidak boleh memberikan sebarang komen berkenaan beberapa insiden
yang berlaku di lokasi lain seperti insiden kereta polis merempuh
demonstran disusuli demonstran menterbalikkan kereta berkenaan. Komen
dalam poin ke-4 saya rasa boleh merumuskan pandangan saya. Yang bersalah
adalah bersalah, tidak kiralah dari kelompok mana. Dan janganlah
dituding kesalahan kepada ratusan ribuan yang lain yang datang dengan
cukup aman.
6.
Saya tidak boleh menyimpan rasa kecewa melihat kekotoran yang berlaku
dalam perjalanan pulang saya ke rumah, banyak botol-botol kosong yang
berlemparan. Saya tidak tahu samada mungkin selepas saya pulang akan
ada kumpulan khas di bawah BERSIH atau dari Unit Amal yang terkenal
dengan disiplin yang baik, yang akan melakukan pembersihan. Jika
tiada, ia sesuatu yang perlu diambil kira dalam mana-mana demonstrasi
pada masa akan datang dan untuk kali ini BERSIH wajar bertanggungjawab
sepenuhnya.
7.
Bagi yang tidak bersetuju dengam BERSIH in the first place, saya
boleh katakan begini. Ramai antara mereka adalah golongan pro Parti
Kerajaan yang fanatik. Mereka sudah selesa dengan kehidupan di bawah
pemerintahan parti berkenaan. Mereka 'beriman' bahawa rezeki itu datang
dari UMNO BN dan rakyat perlu bersyukur dengan apa yang ada. Mereka
kelihatan tidak ambil peduli dengan kes-kes penindasan ke atas rakyat
yang tidak bersama parti pemerintah, mereka diugut, dipenjara,
dipindahkan kerja serta merta malah ada yang dibunuh seperti kes Memali.
Tidak termasuk lagi dengan corak pemerintahan yang tidak Islamik
dengan kenyataan-kenyataan menghina hukum Islam dan Ulama'. Bagi
golongan ini, saya hanya mampu berdo'a. Semoga Allah membuka hati
mereka seluas-luas melihat kezaliman demi kezaliman yang berlaku.
8.
Suka saya ingatkan para pembaca bahawa masalah-masalah yang berlaku
dalam sistem pilihanraya kita cukup membimbangkan termasuk dakwaan
memberikan kerakyatan sewenang-wenangnya, perpindahan tempat mengundi
tanpa pengetahuan pengundi, pengundi yang mustahil seperti orang yang
sangat tua, bilangan pengundi yg mustahil dalam satu-satu kediaman dan
banyak lagi. Baru-baru ini kita dikejutkan bahawa Pengerusi dan
Timbalan Pengerusi SPR adalah ahli UMNO. Tempangnya sistem pilihanraya
kita!
9.
Ada di kalangan yang tidak bersetuju itu merasakan BERSIH 3.0 itu
bukan penyelesaian terbaik buat ketika ini. Pandangan ini mungkin betul,
mungkin tidak. Apa yang saya perhatikan, golongan ini banyaknya
datang dari kumpulan yang tidak langsung terlibat dalam menyelesaikan
masalah yang ada. Mereka ada di tebingan, memberikan pandangan dan
kritikan. Melihat kepada usaha yang telah dilakukan oleh pihak yang
berkenaan dalam menyelesaikan masalah ini dengan baik, saya
berpandangan bahawa parti pemerintah kelihatan tidak serius dalam
menanganinya. Jelas, tempangnya sistem pilihanraya akan memberikan
kelebihan yang cukup tinggi kepada mereka untuk terus berkuasa.
Golongan 'amal' lebih tahu selok belok bekerja daripada golongan
'pengkritik', begitulah dapat saya simpulkan. Walau bagaimanapun,
kritikan dari pihak luar bagi saya perlu dialu-alukan untuk
mematangkan segala bentuk keputusan.
10.
Ada di kalangan mereka yang tidak langsung ambil peduli. Mereka
mungkin pening dengan mainan politik yang sedang berlaku. Mereka hidup
untuk diri mereka dan keluarga mereka sahaja, makan, tidur, makan,
kerja, berhibur. Kitaran hidup tidak menggambarkan diri mereka mahu
melakukan sebarang perubahan pada masyarakat dan negara. Golongan ini
bagi saya, memang sungguh menguntungkan kerajaan yang memerintah.
Jikalau mereka mendaftar diri sebagai pengundi sekalipun, undi buat
parti pemerintah hampir pasti berlaku.
11.
Tuntutan BERSIH adalah wajar dan mustahak! Rakyat yang turun hari ini
adalah sebagai usaha kecil dalam mengembalikan negara kepada keadaan
yang lebih baik. Pemerintah mesti disedarkan bahawa rakyat marah dengan
kerosakan-kerosakan yang telah mereka lakukan. Jika dalam keadaan
perhimpunan ini sudah dari awal diharamkan, dan begini sokongan yang
datang, saya tidak boleh mengagak bagaimana jika ia dibenarkan. Kita
perlu ingat, masih ramai lagi di luar sana yang ingin hadir tapi tidak
berkesempatan, dan masih ramai yang menyokong tapi tidak cukup kuat
untuk turun bersama. Sesungguhnya, saya percaya jika pilihanraya kali
ini benar-benar bersih, parti pemerintah pasti akan tumbang!
12.
Saya mengimpikan sebuah negara yang mampu mewujudkan suasana yang
lebih baik pada masa akan datang, khasnya untuk generasi muda. Dan saya
pasti melihatkan prestasi kepimpinan negara, mereka gagal melaksanakan
dengan baik malah dalam perkara-perkara tertentu menjahanamkan
kehidupan rakyat. Semoga nukilan ini memberikan manfaat buat
teman-teman yang membaca.
Selamat malam buat teman di Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan