Timbalan
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Musa Sheikh Fadzir
akan membantu parti itu untuk menjawab segala tuduhan yang dilemparkan
abangnya Tan Sri Abdul Kadir terhadap Umno.Musa berkata beliau akan pergi ke mana sahaja tempat abangnya
menyampaikan ceramah dan akan menjawab segala tomahannya menerusi
ceramah anjuran Umno agar penduduk di kawasan berkenaan tidak
terpengaruh dengan tuduhan bekas menteri penerangan itu.
“Dalam keluarga, saya hormat dia sebagai abang tetapi dalam parti saya akan menentangnya habis-habisan kerana dia telah belot kepada parti.
“Apa
sahaja tomahan atau tuduhan yang dibuat terhadap Umno, saya akan
pertahankan kerana saya orang parti, apa tuduhan dan di mana dia buat
tuduhan… saya akan jawab,” katanya kepada pemberita selepas menyertai
bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi menerima bendera Umno
sempena larian sempena sambutan ulang tahun ke-66 parti itu di sini hari
ini.
Abdul
Kadir, yang mengumumkan keluar Umno pada 19 Mac lepas, sebelum ini
dikritik banyak pihak kerana enggan menyatakan pendiriannya sama ada
menyokong Barisan Nasional (BN) atau pembangkang berikutan kenyataannya
pada Januari lepas yang mendakwa BN memberi antara RM200 dan RM1,000
bagi membeli undi untuk memenangi pilihan raya umum Mac 2008.
Musa,
yang juga ketua bahagian Bukit Mertajam, berkata beliau tidak lemah
semangat dengan keputusan Abdul Kadir keluar Umno malah
lebih berkobar-kobar berjuang bersama Umno.
“Cuma kami
sekeluarga kecewa dengan beliau (Abdul Kadir) kerana selepas 50 tahun
lebih bersama Umno mengapa baru sekarang dia meninggalkan parti. Saya
tahu beliau berkecil hati dengan dua atau tiga orang dalam Umno tetapi
mengapa mesti mengorbankan perjuangan beliau selama ini, ini perkara
sia-sia,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan