Dr.Mohd Asri Zainul Abidin
Minggu
lepas saya tidak menulis. Saya agak sibuk melayan rombongan Ahli
Majlis Fatwa Perlis yang melawat UK dan Sepanyol. Rombongan disertai SS
mufti negeri dan beberapa ahli fatwa yang lain. DYTM Raja Muda Perlis
sebagai Yang Dipertua Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs) mengetuai
delegasi.Sebagai bekas mufti Perlis dan masih menjadi ahli MAIPs.
Saya
yang berada di UK ini mengambil peranan bersama rombongan di sini dan
Sepanyol. Seperti biasa, Raja Muda Perlis akan mengenakan jadual yang
agak ketat kepada ahli-ahli rombongan beliau. Lawatan, perjumpaan dan
perbincangan di sana dan sini.
Setiap
ahli diberikan tugasan menganalisa tempat yang dilawati ataupun
perjumpaan yang diadakan.
Kemudian dibentangkan. Saya melihat banyak
manfaat yang jika dihayati akan berperanan dalam pembentukan fatwa.
Sebenarnya,
kembara dan memerhati perbezaan budaya dan latar manusia adalah
penting sebelum seseorang meletakkan sesuatu penilaian ataupun hukum.
Ramai orang melawat tempat orang lain, tetapi hanya asyik melihat
bangunan dan pemandangan cantik sahaja tanpa mempelajari perbezaan
budaya dan adat manusia.
Dalam
fatwa, memahami latar budaya dan adat amatlah penting. Mengetahui latar
isu sebelum sesuatu fatwa itu dikeluarkan adalah satu kemestian. Hanya
kebelakangan ini apabila munculnya golongan literalis, terutama di
beberapa negara Teluk, mereka membidaahkan apa yang disebut sebagai Fiqh al-Waqi’ atau understanding the reality in the light of jurisprudence, ataupun fikah berdasarkan realiti.
Kejumudan
yang seperti itu boleh menatijahkan fatwa yang menyusahkan dan tidak
kena pada tempatnya. Golongan yang menentang fatwa berasaskan latar
realiti ini kononnya kerana menganggap hukum Allah semua sama di setiap
tempat, zaman dan individu.
Pada
asasnya, kenyataan itu mungkin betul jika setiap tempat, zaman dan
individu mempunyai keadaan dan latar yang sama. Namun realitinya dunia
sentiasa berubah. Budaya dan masalah di setiap zaman dan tempat juga
tidak sama.
Nabi SAW
sendiri dalam pelbagai hadis memberikan jawapan yang berbeza-beza bagi
satu soalan yang sama disebabkan latar penyoal dan keadaan semasa.
Sebab itu kita dapati jawapan Nabi SAW bagi soalan seperti “apakah
amalan yang terbaik?” dan “berikan pesanan untukku” berbeza-beza
berdasarkan latar penyoal.
Demikianlah
hukum agama dalam Islam ini. Terdapat perkara yang tetap tidak boleh
berubah seperti solat, puasa, haji dan yang seumpamanya. Namun terdapat
banyak hukum yang berkait dengan latar keadaan manusia terutama yang
membabitkan urusan muamalat seperti urusan jual-beli, sewaan, riba,
pakaian, pergaulan dan seumpamanya.
Al-Imam Ibn Qayyim dalam karyanya yang terkenal I’lam al-Muwaqqi’in meletakkan satu bab Taghaiyur al-Fatwa wa Ikhtilafuha bi Hasbi Taghaiyur al-Azminah wa al-Amkinah wa al-Ahwal wa al-Niyyat wa al-‘Awaid (perubahan fatwa dan perbezaannya berdasarkan perubahan zaman, tempat, keadaan, niat dan adat).
Al-Imam Ibn Qayyim dalam karyanya yang terkenal I’lam al-Muwaqqi’in meletakkan satu bab Taghaiyur al-Fatwa wa Ikhtilafuha bi Hasbi Taghaiyur al-Azminah wa al-Amkinah wa al-Ahwal wa al-Niyyat wa al-‘Awaid (perubahan fatwa dan perbezaannya berdasarkan perubahan zaman, tempat, keadaan, niat dan adat).
Fahami budaya
Justeru, para ulama Usul Fikah menegaskan hal ini sejak dahulu. Kata al-Imam al-Qarafi (meninggal 684H):
“Jika kita
keluar dari satu negeri ke negeri yang lain yang adat (kebiasaan)
mereka berbeza dengan adat negeri kita maka kita berfatwa berdasarkan
adat negeri mereka dan bukan adat negeri kita.
“Demikian
juga jika seseorang datang dari negeri yang adatnya berbeza dengan adat
negeri kita, maka kita tidak boleh berfatwa melainkan dengan adat
negerinya bukan adat negeri kita.” (Al-Ihkam fi Tamyiz bain al-Fatawa wa al-Ahkam, hlm 218, Syria: al-Matbu’at al-Islamiyyah).
Bahkan al-Imam al-Qarafi sekali lagi dalam karyanya al-Furuq dengan tegas menyebut:
“Jangan
sepanjang hidupmu jumud dengan baris-baris ayat dalam kitab. Apabila
datang seseorang dari negeri yang iklim (budaya) berbeza denganmu
meminta fatwa, jangan engkau hukum berdasarkan keadaan negerimu.
“Hendaklah
kamu tanya keadaan negerinya dan nilai serta fatwalah berdasarkan
keadaan itu. Bukan keadaan negerimu dan apa yang tertulis dalam
kitab-kitab. Inilah kebenaran yang nyata. Jumud dengan petikan-petikan
(kitab) pasti satu kesesatan dalam agama, kejahilan terhadap maksud
para ulama Islam dan golongan salaf yang lampau.”
Inilah
yang kita lihat kepada sesetengah fatwa ulama zaman ini yang tidak
mengikuti keadaan semasa. Tidak memahami realiti baru umat Islam dan
perubahan dunia. Ada yang begitu literal sehingga mengambil fatwa-fatwa
muamalat dan siasah dari para ulama yang dangkal tentang hal politik
dan berada dalam iklim yang berbeza serta kepentingan yang tersendiri.
Inilah
yang berlaku kepada golongan literalis di Barat yang memetik
fatwa-fatwa muamalat dan politik dari negara-negara Teluk seakan wahyu
yang boleh diubah. Apa kurangnya juga di negara kita apabila ada yang
menganggap semua fatwa dalam kitab dahulu, ataupun dari ulama dokongan
mereka itu sesuai untuk semua keadaan tempat.
Ada pula
yang memetik fatwa sempit tertentu kononnya mengundi dalam pilihan raya
itu haram sebab zaman sahabat tiada pilihan raya!
Al-Imam Ibn ‘Abidin (meninggal 1252H) menyebut dalam Nashr al-‘Uruf:
“Kebanyakan
hukum berbeza disebabkan perbezaan zaman, perubahan keadaan, suasana
darurat ataupun kerosakan di mana jika hukum itu kekal seperti
sebelumnya akan menyebabkan kesusahan dan mudarat kepada manusia.
“Sedangkan
kaedah-kaedah syarak itu dibina atas meringankan, memudahkan dan
menghalang mudarat dan kerosakan. Oleh itu, uruf (kebiasaan) berubah
dan berbeza disebabkan perbezaan zaman.
“Jika
berlaku uruf yang baru, maka mufti pada zaman kita hendaklah berfatwa
berdasarkan uruf itu dan hendaklah berbeza dengan apa yang tertulis
dalam kitab-kitab mazhab. Maka golongan yang terkemudian yang
menyanggahi apa yang tertulis dalam kitab-kitab mazhab dalam
perkara-perkara yang pernah dibahaskan dahulu, sebenarnya tidak
menyanggahinya melainkan disebabkan perubahan zaman dan uruf.
“Mereka
tahu, jika tuan punya mazhab berada pada zaman mereka akan memberikan
pendapat yang sama. Maka mufti hendaklah memberikan fatwa berdasarkan
uruf zamannya sekalipun menyanggahi ulama terdahulu.”
Ikuti perkembangan
Maka bagi
golongan ulama pada zaman ini, di mana dunia teknologi berkembang
begitu pesat, penting untuk mereka melihat hukum hakam syarak dan
pendekatan agama luar dari kerangka kitab yang mereka baca. Mereka
mesti mampu untuk keluar dari kerangka petikan-petikan hukum yang
lampau yang mempunyai konteks yang berbeza.
Masyarakat
di Eropah umpamanya dalam hukum-hakam muamalat dan siasah tidak boleh
terikat dengan fatwa-fatwa Arab Saudi ataupun Malaysia yang tidak luas
dalam hal-hal seperti itu. Latar keadaan juga berbeza. Apatah lagi jika
sesuatu fatwa mempunyai pengaruh budaya dan politik tertentu.
Maka
malang, jika mereka yang belajar di negara-negara Teluk cuba menegaskan
agar wanita di negara lain turut memakai pakaian hitam seperti wanita
Teluk. Itu hanya adat mereka yang bukan warisan salaf untuk dihayati. Demikian juga memakai purdah amat tidak sesuai untuk difatwakan di Barat ini.
Bahkan al-Imam Ibn Taimiyyah (meninggal 728H) menyebut dalam Iqtida Sirat al-Mustaqim tentang keadaan Muslim yang berada di negara bukan Muslim:
“Sekiranya
Muslim berada di negara musuh, ataupun negara kufur yang tidak musuh
maka dia tidak disuruh untuk berbeza dengan mereka dari segi penampilan
zahir kerana itu akan memudaratkan.
“Bahkan
digalakkan ataupun diwajibkan menyertai mereka di sudut penampilan
zahir jika itu terdapat kemaslahatan agama seperti untuk dakwah mereka
kepada Islam dan memerhati keadaan dalam mereka untuk dimaklumkan
kepada orang Muslim ataupun menghalang bahaya mereka terhadap orang
Muslim ataupun selainnya yang merupakan niat yang baik.”
Maka,
pentafsiran hadis-hadis Nabi SAW dan penukilan fatwa terutama yang
membabitkan soal muamalat dan politik hendaklah dilihat dalam kerangka
teks dan konteks. Bukan kerana sesuatu nas hadis itu tidak sesuai,
tetapi latar keadaan yang telah berubah. Ia memerlukan ijtihad baru
dalam kerangka yang baru.
Kata Syeikh Mustafa al-Zarqa dalam al-Madkhal al-Fiqh al-‘Am :
“Betapa
banyak hukum yang dahulunya perungkai dan penyelesai masalah yang
berkesan dalam suasana zaman tertentu, namun selepas beberapa generasi
ia tidak lagi mencapai maksudnya.
“Mungkin
memberikan kesan yang sebaliknya disebabkan perubahan keadaan,
pendekatan dan akhlak… di atas asas ini diletakkan kaedah fikah
(berbunyi) tidak dinafikan perubahan hukum disebabkan perubahan zaman.”
Kembara
dan memerhati suasana orang serta memahami budaya mereka amatlah
penting. Ramai yang mencerca Barat dan mereka yang tinggal di Barat,
tetapi tidak memahami latar budaya dan falsafah mereka dalam kehidupan.
Lebih buruk lagi, ada yang ingin mengenakan fatwa sempit di negaranya kepada umat di Barat ini.
Lebih
buruk ada yang ingin mengenakan hukum-hakam syarak yang dirumuskan oleh
ulama untuk umat yang hidup di kurun-kurun yang lalu kepada umat yang
hidup di kurun teknologi dan segala kecanggihan dan perubahan cara
fikir dan budaya hari ini.
Maka,
penting untuk memahami realiti sebelum berfatwa, jika tidak kita akan
menjadi fatwa itu literal yang sempit dan memundurkan umat.
Penulis adalah Profesor Madya di USM dan merupakan bekas mufti negeri Perlis
Tiada ulasan:
Catat Ulasan