Baik media cetak, media elektronik juga media baru dalam talian dan blog beri liputan meluas terhadap pertikaman lidah yang begitu hangat mengenai isu penghapusan pinjaman PTPTN.
Kedua pendebat – Ketua Pemuda Umno dan Pengarah Strategik PKR – sama hebat dan masing-masing bertegang urat dan saling menuding jari antara satu dengan lain sepanjang sejam setengah bersama moderator, Dr Maszlee Malik. Ini bukan pertama kali KJ-Rafizi bersemuka, sebab sebelum ini mereka sudah pun bertemu dalam acara serupa di London.
Cuma, acara di Awani anjuran Sinar Harian itu adalah debat pertama antara seteru politik yang disiarkan secara langsung. Sebab itu ia menjadi perhatian.
Walaupun ada ketikanya para penyokong kedua pendebat bertindak agak emosional, secara keseluruhan mereka masih dikira beradab dan mematuhi peraturan. Memang ada jeritan, tetapi tidak sampai peringkat baling kerusi atau tungging punggung.
Ini bukti audiens kita sudah semakin matang, boleh mengawal diri dan perasaan. Maka, debat menerusi TV seperti ini boleh diteruskan.
*ADA stesen TV tidak berani siarkan debat KJ-Rafizi, atas sebab-sebab tertentu. Mereka takut para penyokong naik semangat berkobar-kobar dan membuat onar ketika siaran berlangsung.
Mereka juga takut sekiranya dalam perdebatan itu terlepas perkataan yang tidak sepatutnya, dan pendedahan oleh pendebat yang menuduh dan memburukkan pihak-pihak tertentu.
Ternyata KJ dan Rafizi tidak lari jauh dari tajuk yang dibincangkan, dan masing-masing memberi hujah berdasarkan fakta dan angka. Ini sekali lagi menunjukkan cara kita berlawan idea sudah jauh matang, tidak hentam keromo memburukkan seseorang.
Masa sudah tiba untuk radio dan TV memberi ruang kepada acara-acara debat seperti ini. Dengan membuat secara langsung, tidak ada suntingan atau potongan, maka tidak timbul radio atau TV memihak atau bias.
Harap-harap lepas ini banyak lagi acara debat terbuka disiarkan secara langsung menerusi TV atau radio.
Kalau tokohnya berwibawa, topiknya menyentuh kepentingan umum, pasti acara seperti ini boleh menjadi pencambah minda.
Apa kata sekiranya debat Pas-Umno disiarkan secara langsung menerusi radio dan TV. Pemimpin kedua parti ini sama-sama matang dan diminati rakyat. Biar mereka berdebat dan penonton jadi saksi.
*KHAMIS lalu Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan penerbitan buku tulisan Irshad Manji bertajuk ‘Allah, Kebebasan dan Cinta’, dan versi Bahasa Inggeris ‘Allah, Liberty and Love’. Seperti yang dijelaskan, perintah larangan itu dibuat mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984 kerana kandungannya ‘boleh menggemparkan fikiran orang ramai dan memudaratkan keselamatan dan ketenteraman awam.’
Tindakan tegas KDN itu dibuat selepas menerima laporan dan ulasan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bahawa buku hasil penulis yang mengaku lesbian dan penyokong LGBT itu mengandungi perkaraperkara menyalahi syariah yang ditetapkan dalam al-Quran dan hadis.
Sebelum diharamkan buku tersebut sempat dilancarkan di satu majlis di Dewan Perhimpunan Cina di Kuala Lumpur oleh penulisnya sendiri. Manji tidak lama di sini sebab diminta meninggalkan negara ini.
Dia mengaku lesbian, pendukung LGBT, dan ditolak oleh banyak negara. Macam mana dia boleh masuk ke sini? Siapa sahaja yang membawa masuk penulis kontroversi itu memang tidak memahami, atau buatbuat tidak faham, mengenai sensitiviti agama. Mereka seolah-olah mencabar Islam sebagai agama rasmi negara ini.
*AKHIR kalam, ada cakap-cakap Datuk Mukhriz Mahathir akan jadi Menteri Besar Kedah yang baru. Bagaimanapun Ahli Parlimen Jerlun yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu anggap itu hanyalah gosip. Beliau tidak kisah sama ada dipilih untuk bertanding peringkat Parlimen atau Negeri.
Ini bukan sangat soal Parlimen atau Negeri. Bukan juga soal dia jadi MB. Soalan penting sekarang ialah: 1. Bila PRU13. 2. Bolehkah BN menang di Kedah untuk membolehkan Mukhriz jadi MB baru?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan