HALAMAN SANTAI

Khamis, 3 Mei 2012

Malunya media di M’sia dibanding negara kuku besi

Harakahdaily,
 

KUALA LUMPUR: Rakyat merasa malu jika media di Malaysia akan dibandingkan dengan media di bawah pemerintahan negara-negara rejim kuku besi.


Demikian kata Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Riduan Mohd Nor (gambar) berhubung laporan media mengenai himpunan Bersih 3.0 pada 28 April lepas.

Justeru, katanya DPPM merasa simpati terhadap media antarabangsa seperti British Boradcasting Company (BBC) dan Al Jazeera kerana liputan berita milik mereka semasa perhimpunan Bersih 3.0 telah ditapis oleh Astro tanpa persetujuan mereka.

Bagi DPPM, ujarnya alasan Astro bahawa mereka “mematuhi garis panduan penyiaran kebangsaan” adalah alasan remeh dan sukar untuk diterima.

Ini, katanya kerana dengan penapisan yang dibuat oleh Astro akan menyebabkan hilangnya babak penting yang menceritakan peristiwa sebenar dalam perhimpunan tersebut.

“Ia pula akan menjadikan liputan ini sangat tidak adil, berat sebelah dan hanya memenuhi kepentingan sesetengah pihak sahaja,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, DPPM merasa kecewa kerana Astro tidak merujuk dahulu media antarabangsa liputan yang mereka tapis dan paparkan kepada masyarakat.

Ini, tambah Riduan menggambarkan betapa teruknya nilai demokrasi di negara ini sehingga media disekat sedemikian rupa hatta terhadap media antarabangsa.

DPPM juga, kata beliau kesal kerana media di Malaysia masih terkongkong oleh pengaruh politik pemerintahan BN sedangkan media antarabangsa telah jauh mendahului dalam memberikan liputan yang adil dan bebas.

“Rakyat merasa malu jika media di Malaysia akan dibandingkan dengan media di bawah pemerintahan negara-negara rejim kuku besi.

“Bagi rakyat Malaysia pula, perkara ini tidak mengejutkan kerana ia sudah menjadi lumrah sejak dahulu lagi di mana media tidak pernah bebas dan adil dalam memberikan laporannya,” ujarnya lagi.

Malahan, katanya media utama memainkan peranan penting menghentam parti politik atau pemimpin serta sesiapa sahaja yang tidak sehaluan dengan Umno BN.

“Lihatlah bagaimana media utama negara memberikan liputan terhadap perhimpunan Bersih 3.0, seolah-olah kerajaan dan anggota keselamatan menjadi mangsa keganasan rakyat serta kerajaan di pihak yang benar sementara orang awam pula adalah pesalah, sedangkan realiti yang berlaku adalah sebaliknya,” katanya.

Dengan demikian, ujar beliau terjawablah persoalan nilai kebebasan media di negara ini.

Baginya, tidak perlu pemimpin Pakatan Rakyat keluar negara bagi menceritakan bagaimana teruknya mereka dilayan oleh media tempatan, cukup hanya melihat bagaimana tapisan terhadap pemberitaan yang dibuat oleh media antarabangsa dalam peristiwa penting yang berlaku di negara ini.

Tiada ulasan: