HALAMAN SANTAI

Khamis, 3 Mei 2012

Penyokong Umno bolot rumah projek ECER

M Faqih ,


GUA MUSANG: Mengambil kira kepentingan rakyat kerajaan negeri menyerah tanah seluas 500 ekar untuk dibangunkan program Agropolitan di bawah projek Koridor Ekonomi Pantai Timur (ECER) di Rantau Manis.

Tanah tersebut termasuk dibangun projek perumahan untuk rakyat miskin sebanyak 1,000 unit, dan sehingga kini 315 unit daripadanya sudah siap dibina.

Dan mengikut persetujuan bersama antara kerajaan negeri, ECER, Kesedar dan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) senarai rakyat yang dipilih mendapat rumah tersebut dibuat secara bersama.

Dan pada awal tahun ini seramai 174 penduduk dipanggil temuduga untuk memiliki rumah tersebut yang bernilai setiap sebuah kira-kira RM60,000.

Bagaimanapun Penyelia Parlimen Gua Musang, Abdullah Husain berkata, pada 18 April lalu hanya seorang sahaja daripada senarai kerajaan negeri berjaya, dan selebihnya senarai dikemukakan Umno.

“Kita difahamkan senarai yang diangkat kerajaan negeri telah hilang selepas temuduga diadakan. Kita kesal mereka telah mempermainkan persetujuan yang sudah dicapai sebelum ini.

“Sedangkan tanah tersebut sebelum ini dilulus kerajaan negeri kepada Pusat Pembangunan Pondok Bhd, namun telah ditarik balik dan diberi pula kepada ECER bagi kepentingan orang ramai.

“Harapan kerajaan negeri melalui kerjasama itu membolehkan lebih ramai lagi rakyat miskin memiliki kediaman sendiri,” katanya di sini.

Projek Agropolitan tersebut yang terletak di jalan raya Gua Musang-Kuala Krai dijangka dirasmi Datuk Seri Najib Razak dalam rangka lawatan rasmi ke Kelantan esok.

Sebelum itu Perdana Menteri difahamkan akan merasmikan Karnival Komuniti 1 Malaysia di padang Pusat Sivik Gua Musang.

Oleh itu Abdullah berharap kerajaan negeri dan ECER memainkan peranan memastikan persetujuan bersama sebelum ini benar-benar dipatuhi.

Menurutnya hanya Abas Osman dari RPT Limau Kasturi daripada senarai dikemukakan kerajaan negeri mendapat rumah tersebut bagi fasa pertama, sedangkan 173 lagi senarai Kesedar daripada penyokong Umno.

“Sekiranya dibiarkan pengagihan dilakukan secara berat sebelah, tentunya 1,000 unit rumah yang akan dibina di Rantau Manis diboloti Umno, sedangkan persetujuan asal 50-50,” ujarnya kesal.

Beliau yang juga Yang Dipertua PAS Gua Musang berkata, kedatangan Presiden Umno esok bukan sahaja disambut bendera dacing dan Umno, sebaliknya Bandar Gua Musang dipenuhi bendera PAS sejak sebulan lalu.

Katanya, 800 helai bendera dipasang memandangkan Umno juga sudah banyak menaikkan bendera dacing.

Beliau juga meluahkan rasa kesal tiga sepanduk yang ditulis “Terima Kasih Ku Li Kerana Menyokong Royalti Minyak” yang dinaikkan awal pagi tadi sudah dibuang pihak tertentu.

“Banner tersebut dinaikkan di bandar lama dan berhampiran Pasar Raya Econjaya dibuang pagi ini. Kita bukannya pasang di tempat berlangsung program Perdana Menteri,” ujarnya.

Tiada ulasan: