HALAMAN SANTAI

Rabu, 22 Ogos 2012

Tawaran sektor awam lambat punca pelajar India pilih sektor swasta — Siva Subramaniam

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Proses permohonan yang rumit dan tempoh menunggu tawaran sektor awam terlalu lama menyebabkan pelajar cemerlang masyarakat India memilih untuk bekerja di sektor swasta.

Penyelaras Pasukan Petugas Khas Pelaksanaan Jawatankuasa Kabinet Masyarakat India, Jabatan Perdana Menteri, Datuk N. Siva Subramaniam (gambar) berkata perkara itu turut menyebabkan kurangnya penyertaan masyarakat India dalam kumpulan profesional sektor awam.

“Kebanyakan masyarakat India yang menyertai sektor awam memegang jawatan peringkat rendah seperti juruteknik dan pembantu tadbir.

“Pelajar cemerlang ini takkan nak tunggu lama untuk bekerja, sektor swasta dalam masa sama berlumba-lumba dapatkan mereka,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama dan Bernama TV di Wisma Bernama di sini hari ini.

Beliau yang juga bekas presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berkata apabila pelajar cemerlang itu bekerja di sektor swasta dengan gaji tinggi, sukar bagi mereka beralih kepada sektor awam apabila mendapat tawaran kerana gaji yang lebih rendah.

Siva Subramaniam berkata secara purata hanya 2.5 peratus daripada penjawat awam di setiap kementerian terdiri daripada masyarakat India, namun itu bakal berubah dengan pelbagai langkah yang sedang dan bakal dilaksanakan kerajaan.

“Kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini begitu prihatin dan akan menawarkan sebanyak 1,000 jawatan sector awam kepada masyarakat India.
“Kita ada ramai calon daripada masyarakat India, tetapi ada juga masalah seperti penguasaan bahasa Melayu dan Inggeris yang lemah menjadi halangan untuk masuk sektor awam,” katanya.

Beliau berkata tawaran jawatan kepada masyarakat India dalam sektor awam bergantung kepada faktor seperti kelayakan akademik, lulus temu duga dan jati diri bagi memastikan mereka berkhidmat cemerlang untuk kerajaan, bukan hanya mengisi kuota semata-mata.

Pihaknya juga sedang mengkaji tentang faktor kenaikan pangkat dalam sector awam terutamanya dalam perkhidmatan perguruan bagi masyarakat India.

“Kita terima memorandum daripada guru-guru kaum India yang mengatakan peluang mereka untuk naik pangkat ke jawatan pengetua serta penolong kanan amat tipis, kami akan membuat kajian untuk mengatasi masalah ini,” katanya. — Bernama

Tiada ulasan: