Projek pertama Menteri Besar Kelantan yang baru, Datuk Ahmad Yakub, Institut Pemikiran Tok Guru (IPTG) kini mula beroperasi di sebuah pejabat di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, Kelantan.
Dr Che Samsudin Mohamed Noor dilantik sebagai pengarahnya yang pertama.
Objektif IPTG adalah menjadi sebuah institut rujukan, latihan dan pengembangan dasar Membangun Bersama Islam (MBI) atas prinsip ubudiyyah (pengabdian), mas’uliyyah (kepimpinan) dan itqan (kesungguhan).
Di samping itu IPTG berperanan sebagai pusat penyelidikan dan pengembangan (R&D) bagi pentadbiran Kelantan.
“IPTG merangka tiga komponen iaitu aktiviti keilmuan, perpustakaan dan pusat sumber serta pusat penyelidikan dan pengembangan (R&D) pentadbiran negeri,” kata Che Samsudin dipetik dari HarakahDaily.
Idea penubuhan IPTG dicetus Ahmad Yakob selepas menggantikan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) sebagai ketua kerajaan negeri.
Menurutnya, pemikiran dan legasi yang berharga yang ada pada Mursyidul Am PAS itu perlu terus disuntik dalam jentera kerajaan negeri.
IPTG dipengerusikan Menteri Besar, manakala Nik Abdul Aziz dilantik sebagai penasihat atau murabbi ummah.
Aktiviti keilmuan IPTG merangkumi kuliah dan kursus kepada anggota perkhidmatan awam negeri, seminar, forum dan wacana akademik.
Komponen perpustakaan pula akan menyediakan koleksi buku, kajian ilmiah, tesis dan sebarang penulisan mengenai Nik Aziz.
Ia juga mengandungi pusat sumber berfungsi sebagai bilik audio-visual kepada pengunjung serta sumber rujukan kepada mana-mana pihak yang ingin membuat kajian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan