KUALA LUMPUR: Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar menyifatkan soalan polis menjurus kepada cubaan mengaitkannya supaya disiasat dibawah Akta Hasutan.
“Polis menghubungi saya sebelum dan selepas Hari Raya untuk memastikan saya hadir. Saya tiada masalah memberi kerjasama.
“Apa yang dikesalkan niat tidak baik polis untuk memastikan saya dikaitkan dengan Akta Hasutan,” kata Nurul Izzah
.
Siasatan berhubung ucapannya di majlis makan malam Suaram bagi mengumpul dana kes mahkamah di Perancis, berkaitan kes pembelian dua kapal selam Scorpene oleh kerajaan Malaysia pada 2002.
Ia berdasarkan laporan polis dibuat pengerusi Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwandin Hamzah.
“Berkali-kali saya bertanya pengawai penyiasat. Adakah saya disiasat bawah Akta Hasutan?
“Sebagai seorang yang disyaki atau hanya seorang saksi?
“Malangnya tidak dijawab,” ujarnya selepas siasatan di ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, 17 Ogos lalu.
Jelas Izzah, apa yang berlaku menunjukkan Akta Hasutan digunakan terhadap ahli politik Pakatan Rakyat atau aktivis yang membangkitkan skandal rasuah pemimpin Umno-BN.
“Kerajaan dan polis tidak sepatutnya menghalang sesiapa membangkitkan skandal rasuah termasuklah pembelian kapal selam Scorpene,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan