HALAMAN SANTAI

Sabtu, 20 September 2014

'Berdoa waktu bahas, lepas ini baca talkin'

MALAYSIAKINI


 


Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu hari ini menyindir perwakilan Wilayah Persekutuan Azhari Ariffin yang membacakan doa dalam ucapan untuk mengecam beliau dan dua ADUN Selangor semalam.

Beliau menyifatkan tindakan berdoa itu sebagai satu "taktik baru" yang tidak pernah digunakan sebelum ini.

"Walaupun ada perkara baru yang dipersembahkan. Baru kali pertama saya tengok ucapan dalam bentuk doa.

"Dulu kita guna doa, bila nak ceramah tak boleh, FRU suruh bersurai, akhirnya kita berdoa," katanya.

Perwakilan itu pula menggunakan taktik tersebut untuk menghadapi larangan pengerusi tetap, kata Mohamad dalam ucapan penggulungannnya di Muktamar PAS Ke-60, petang ini.

"Tambah lagi sewaktu Ustaz Abu Bakar Cik berdoa, panjang. Macam tu juga dengan Ustaz Fadzil Nor.

"Macam semalam, kalau berdoa panjang, Pengerusi tetap nak suruh berhenti, doa.

"Ooo... rupanya ini taktik baru. Lepas ini kita baca talkin pula. Lepas ini kita baca talkin dalam bahasa Melayu (sewaktu berbahas)," katanya sinis sambil diiringi gelak ketawa perwakilan.

Walaupun beliau memuji tindakan Azhari tampil berbahas tetapi tokoh PAS itu tetap menyindir bahawa pemimpin muda itu tidak mendedahkan identiti sebenar.

 "Kadangkala nama sebenar tak berani nak beritahu", kata Mohamad yang turut menepis dakwaan bahawa beliau berhasrat untuk menggulingkan presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Mohamad berkata, beliau sebaliknya telah berkorban untuk memastikan kemenangan pemimpin utama parti itu khususnya dalam pilihan raya umum lalu.

Beliau memberi contoh apabila meluangkan masa untuk membantu Abdul Hadi berkempen di Marang pada pilihan raya selepas mendapat khabar beliau bakal tumbang di Marang.

"Tempat yang aku bantu menang, tempat sendiri di Pendang kalah. Tak apalah... Kita tak boleh tengok presiden kalah," katanya lagi.

Beliau juga menolak tuduhan oleh perwakilan yang curiga dengan pemimpin PAS yang berkawan dengan pemimpin sosialis.

Katanya, beliau sebagai pengerusi jawatankuasa mobilisasi dan demokrasi bertanggungjawab untuk mendekati “kumpulan kuasa ketiga”.

Tindakannya itu juga disokong oleh Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali dalam ucapan terdahulu.

Mustafa berkata Mohamad sememangnya bertanggungjawab berkawan dengan pemimpin Parti Sosialis Malaysia dan NGO Islam dan bukan Islam.

"Tanggungjawab dia sebagai pengerusi gerakan mobilisasi dan demokrasi berhubung dengan NGO, termasuk bukan NGO bukan Islam dan PSM," kata Mustafa dalam ucapan penggulungannya.

Tiada ulasan: