MALAYSIAKINI
Pada pusingan pertama berkempen, PAS dan BN dilihat sama hebat bagi
memenangi hati pengundi pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan
Negeri (DUN) Pengkalan Kubor.
Tempoh berkempen yang berbaki dua hari sahaja lagi dilihat makin meriah
apabila bendera dan kain rentang parti masing-masing sudah membanjiri
sepanjang jalan di Pengkalan Kubor.
Ketika tempoh seminggu terawal, kempen BN dilihat lebih menonjol
berbanding PAS apabila parti itu menurunkan pemimpin besar negara ke
kawasan yang mempunyai 24,039 pengundi itu.
Dengan kelebihan sebagai kerajaan persekutuan, BN menurunkan pemimpin serta barisan menterinya untuk menggempur lawannya PAS.
Antara yang dilihat konsisten hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Tan
Sri Muhyiddin Yassin sendiri, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin
Abu Bakar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan dan
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa
Mohamed, yang juga pengarah jentera BN di DUN itu.
Pada PRK kali ini, BN mencalonkan Mat Razi Mat Ail manakala Pakatan
Rakyat diwakili calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim. Seorang calon bebas
Izat Bukhary Ismail Bukhary yang menggunakan logo pen turut mencuba
nasib sekali lagi setelah hilang deposit pilihan raya.
Pilihan raya itu diadakan ekoran kematian penyandangnya daripada BN
allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar, 57, akibat kanser hati pada 20 Ogos
lepas.
Pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 lalu, Noor Zahidi mengalahkan Saharun
Ibrahim daripada PKR dan Izat Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.
Pengundi Pengkalan Kubor terdiri daripada 92.02 peratus Melayu, 6.81
peratus lain-lain (meliputi Siam), Cina 0.96 peratus, India 0.10 peratus
dan bumiputera Sabah dan Sarawak sebanyak 0.10 peratus.
Hampir separuh (43.97 peratus daripada pemilih terdiri daripada golongan muda.
Sementara itu, daripada aspek pendekatan kempen, BN menggunakan kaedah
lebih rencam dan tidak bergantung kepada ceramah atau sesi bertemu
penduduk semata-mata.
Pembangkang negeri itu dilihat lebih kreatif, antaranya apabila
menggunakan persembahan kebudayaan popular tempatan dikir barat dan
karnival, menggunakan van bergerak dan sesi santai bersama anak muda.
Mereka juga dilihat cuba mendapatkan sokongan penduduk Siam yang
kebanyakannya tinggal di kawasan Geting. Seramai 3,355 pengundi
beralamat di tempat itu.
Dalam pilihan raya umum lalu, BN ketinggalan 524 undi di belakang calon Pakatan.
Sementara itu, di pihak PAS pula, mereka dilihat bermula perlahan pada
minggu awal kempen. Ini dilihat ekoran pemimpin-pemimpin utamanya tidak
dapat hadir berkempen kerana menghadiri muktamar pusat PAS di Johor.
Kempen hari-hari terawal itu sebahagian besar bergantung kepada kerja
keras calonnnya Wan Rosli yang bergerak dari rumah ke rumah dan warung
ke warung seawal solat Subuh sehinggalah larut malam.
Walaupun pelbagai perkara dibangkitkan kedua-dua pihak, isu sekitar
tuntutan royalti minyak Kelantan terus menjadi perkara hangat dalam
kempen kedua-dua pihak.
Bagaimanapun, walau apa pun penjelasan dibuat, tidak dapat dinafikan
kelebihan memihak kepada BN apabila timbalan perdana menteri dilihat
mahu mendedahkan dokumen perjanjian Kelantan-pusat dalam isu royalti.
Keputusan itu dijadual dibuat kabinet esok. Jika menjadi kenyataan, ia
dilihat serangan akhir BN sebelum pengundian pada keesokan harinya.
Bagaimanapun, kelebihan PAS pula apabila dibantu NGO proroyalti dikenali
“R” yang sudah sekian lama mengadakan kempen berkaitan melalui pelbagai
kaedah, untuk memberi penerangan kepada pemilih.
PAS juga dilihat masih mengharapkan ketokohan mursyidul am dan bekas
menteri besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat yang tetap turun berkempen
walaupun baru sahaja menghadapi masalah kesihatan sebelum ini.
Walaupun uzur, beliau turut mengikuti Wan Rosdi merayu undi di beberapa
kawasan serta menyertai ceramah Jumaat di hadapan 700 orang penyokong,
jumlah terbesar sepanjang kempen berlangsung.
Walaupun PAS turut terkait dengan masalah dalaman parti serta krisis
menteri besar Selangor, perkara itu bagaimanapun tidak memberi kesan
kepada pengundi Pengkalan Kubor.
Pengundi di kawasan itu juga lebih senang sekiranya isu-isu tempatan yang dijadikan sebagai isu utama.
Dengan selesaikan kemelut sekitar pemilihan menteri besar Selangor
dengan pelantikan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali, PAS dilihat akan
melakukan pecutan akhir menjelang pilihan raya Khamis ini.
Lebih banyak ceramah perdana yang membariskan tokoh-tokoh nasionalnya akan disusun menjelang saat-saat terakhir.
Berbeza dengan modal terakhir BN yang dijangka akan mendedahkan
perjanjian royalti minyak untuk memberi kelebihan kepada mereka,
sentuhan penyudah PAS masih belum diketahui?
Adakah PAS sudah bersedia dengan jawapan mereka atau ada “sesuatu” yang belum dinyatakan?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan