HALAMAN SANTAI

Isnin, 22 September 2014

Reaksi pemilihan Azmin: Sidang media Wan Azizah tertangguh

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
 
PETALING JAYA: Reaksi PKR terhadap pelantikan timbalan presidennya Azmin Ali sebagai Menteri Besar baru terus menjadi tanda tanya apabila sidang akhbar Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail masih belum bermula. 
 
Sidang media oleh presiden PKR itu dijadualkan bermula 5 petang setelah berita tidak rasmi tersebar bahawa Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan melantik Azmin sebagai MB menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. 
 
Sumber-sumber parti memberitahu Antarapos pagi tadi bahawa Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima baik pelantikan Azmin setelah disahkan pencalonan Wan Azizah ditolak oleh pihak Istana. 
 
Sehingga semalam, Setiausaha Agong PKR Datuk Saifuddin Nasution bertegas Wan Azizah harus diangkat menjadi MB memandangkan beliau mempunyai sokongan 30 daripada 56 ADUN negeri Selangor. 
 
Bagaimanapun beberapa siri perjumpaan di antara Azmin dan Majlis Pimpinan Pusat dipercayai "melembutkan" pendirian. 
 
Ketika ini wartawan masih berkumpul di ibu pejabat PKR menantikan kenyataan rasmi Wan Azizah setelah salinan surat pihak Istana mengesahkan pelantikan Azmin diedarkan kepada mereka. 
 
Surat itu menyebut Azmin mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk menjawat jawatan tersebut berkuat kuasa esok.
 
Ia ditanda tangani oleh Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani.

Tiada ulasan: