MALAYSIAKINI
Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menggesa Kementerian Luar mengambil
tindakan segera mengeluarkan pelajar Malaysia dari Yaman.
Naib Presidennya Mohamad Raimi Ab Rahim, dalam kenyataan semalam berkata
tindakan itu perlu kerana pergolakan yang melibatkan pertempuran antara
kumpulan Houthis dan tentera kerajaan kini merebak ke Sana'a, ibu
negara Yaman.
Kementerian Luar sebelum ini berkata kira-kira 440 pelajar Malaysia di
negara itu ditempatkan di sebuah bangunan yang disediakan kedutaan di
Sana'a demi keselamatan mereka.
"Abim merasakan tindakan itu hanyalah sementara dan rakyat Malaysia masih lagi dalam keadaan bahaya.
"Oleh itu, kementerian perlu bertindak dengan menyediakan pesawat
tentera khas untuk membawa keluar rakyat Malaysia dari Yaman pulang ke
tanah air," kata Mohamad Raimi.
Ketidakstabilan politik kini melanda Yaman selepas wujudnya gerakan untuk mendesak kerajaan Yaman supaya berundur.
Laporan terbaharu media antarabangsa menyebut Perdana Menteri Yaman
Mohamed Basindwa telah meletak jawatan di tengah-tengah kemelut yang
melanda negara berkenaan.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan