HALAMAN SANTAI

Selasa, 23 September 2014

Editor S'gor tuntut kebebasan dari MB

MALAYSIAKINI


 


Pengarang akhbar negeri Selangorkini, Fazallah Pit, berharap menteri besar baru negeri itu Azmin Ali dapat menjamin kebebasan media dalam penerbitan-penerbitannya.

Menurut beliau, Selangorkini sebelum ini tidak mendapat kebebasan sepenuhnya untuk melaporkan isu semasa yang berlaku di Selangor kerana terdapat “pihak tertentu” yang menyekat kebebasan itu.

“Bermula semasa pemerintahan BN lagi perkara ini sudah terjadi dan berterusan sehingga bawah pimpinan Tan Sri Khalid.

“Saya berharap dengan pelantikan Azmin Ali sebagai menteri besar, Selangorkini tidak perlu lagi mengikut telunjuk mana-mana pihak dan kami harap diberi lebih ruang untuk melaporkan isu-isu di Selangor,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Selain akhbar mingguan Selangorkini, kerajaan negeri turut menguruskan portal berita dan saluran video atas talian.

Sementara itu, Fazallah juga menegaskan Selangorkini bukan boneka dan mereka enggan memutarbelitkan cerita hanya untuk kepentingan sesetengah pihak.

Katanya, oleh kerana Azmin adalah memahami konsep kebebasan media, beliau yakin perkara itu dapat diperbaiki.

“Kami tidak mahu hanya menyebelahi sebelah pihak dan selepas ini kami juga tidak mahu fokus kepada berita menteri besar sahaja tetapi melaporkan semua isu sama seperti akhbar-akhbar yang lain.

“Kalau boleh saya tidak mahu pandang ke belakang, apa yang saya dan Selangorkini mahu ialah terus bergerak ke hadapan,” jelasnya.



(*)  NADIA OTHMAN wartawan pelatih di Malaysiakini.

Tiada ulasan: