Roketkini.com
KUALA LUMPUR: Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang hari ini mengecam tuduhan jahat Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mendakwa DAP punca krisis perlembagaan Perak pada 2009.
Kata Kit Siang, serangan Zahid dalam ucapannya terhadap DAP di Pengkalan Kubor semalam bukan sahaja tuduhan melulu, malah menghasut penduduk dengan sentimen perkauman.
“Saya terkejut dengan ucapan tidak bertanggungjawab, penuh kebencian dan hasutan yang berdasarkan pembohongan serta kepalsuan.
“Dari apa yang diucapkan Zahid saya ingin bertanya, bolehkah dia memberi jaminan bahawa siasatan polis akan bermula terhadap dirinya sendiri ‘dalam masa 24 jam’ kerana melakukan kesalahan menghasut dan cuba membangkitkan kebencian kaum melalui pembohongan?,” katanya dalam satu kenyataan.
Malay Mail Online semalam melaporkan seruan Zahid kepada masyarakat Pengkalan Kubor agar ‘mempertahankan hak-hak mereka’ dan menyebut ‘langkah mayat saya dulu’ dengan mengaitkan DAP berhubung krisis perlembagaan Perak.
“Saya masih ingat semasa krisis Perak, mereka membantah (pengambilalihan BN) dan cuba menyekat pintu masuk pintu masuk bangunan negeri. Kamu tahu siapa yang berbaring di jalan? Semua orang Melayu.
“Di manakah orang-orang DAP? Mereka membaling batu ke arah Raja Muda…mereka juga membaling batu pada kereta saya. Saya berada di sana. Apabila mereka lakukan perkara ini, orang Melayulah yang telah berbaring di jalan raya,” kata Zahid.
Beberapa hari lalu, Zahid juga telah bersumpah dengan nama Allah (wallahi billahi tallahii) bahawa polis akan menyiasat dalam tempoh 24 jam dengan menggunakan Akta Hasutan terhadap sesiapa yang menyentuh isu-isu sensitif.
Mengulas tindakan itu Kit Siang menegaskan, sumpah Zahid tidak memberi sebarang makna jika dia gagal memulakan siasatan terhadap pemimpin Umno dan dirinya sendiri dalam masa 24 jam kerana menghasut rakyat.
“Adakah Zahid boleh bersumpah kepada Tuhan bahawa polis akan memulakan siasatan menggunakan Akta Hasutan ‘dalam masa 24 jam’ terhadap Menteri, pemimpin Umno termasuk dirinya sendiri?
“Sebagai contoh bekas Menteri Umno dan Pengerusi Umno Selangor Datuk Noh Omar mengugut untuk melakukan ‘pemberontakan’ dalam perhimpunan gabungan NGO Gerak Daulat di Shah Alam dua hari lalu.
“Bolehkah Zahid memastikan polis memulakan siasatan ‘dalam masa 24 jam’ jika terdapat laporan hasutan dikemukakan terhadap Noh Omar, atau memastikan siasatan terhadap Menteri Dalam Negeri sendiri?, soalnya. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan