HALAMAN SANTAI

Isnin, 22 September 2014

K’jaan guna wang Tabung Haji, KWSP labur di luar negara

KEADILAN DAILY

 

KUALA LUMPUR :  Tun Dr Mahathir Mohamad  menyatakan kebimbangan terhadap keghairahan syarikat pelaburan milik kerajaan yang melabur dan membeli hartanah di negara lain.

Mantan Perdana Menteri itu dipercayai merujuk kepada pelaburan dibuat kerajaan menggunakan Wang Tabungan Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Tabung Haji sehingga menyebabkan pengaliran wang yang besar ke luar negara.

“Yang terbesar sudah tentu KWSP. Pada tahap tertentu, ini adalah perlu tetapi jika kita ada terlalu banyak aliran ke luar, ia tidak baik untuk ekonomi kita,” katanya ketika berucap di Sidang Kemuncak Pembangunan Malaysia ke 11, semalam.

Portal kewangan The Edge melaporkan, Mahathir berkata institusi tempatan yang membuat pelaburan berbilion dollar ke luar akan menyebabkan aliran keluar yang teruk dan menambahkan defisit.

“Kita sangat bimbang terhadap aliran wang, sama ada aliran keluar atau aliran masuk. Jika kita ada duit keluar, ia bermaksud kita akan mengalami defisit. Ia akan reflek kepada perbelanjaan kerajaan kerana kamu perlu meminjam,” ujarnya.

Sementara itu, akhbar milik Umno, Utusan Malaysia mengaitkan kenyataan Mahathir dengan laporan bahawa Lembaga Tabung Haji merancang untuk melabur sehingga RM640 juta di Detroit, Amerika Syarikat (AS).

Detroit merupakan bandar usang dan telah runtuh sehingga menyebabkan hartanahnya mengalami susut nilai. Dilaporkan banyak bangunan pencakar langit di Detroit terbiar kosong sejak 10 tahun lalu dan populasi bandar itu kini hanya dihuni sekitar 700,000 penduduk.

Dr. Mahathir berkata, syarikat pembinaan tempatan perlu diberi lebih banyak peluang menunjukkan kredibiliti membina bangunan pelbagai bentuk dan ketinggian daripada memberi projek kepada firma asing. Menurutnya, pemberian projek kepada syarikat tempatan akan menghalang pengaliran keluar wang ke negara lain.

“Jika keluar (wang), ini bermakna kita akan mempunyai defisit dalam imbangan dagangan kita dan ini akan dapat dilihat dalam perbelanjaan kerajaan kerana ia mungkin perlu meminjam.

“Sebaliknya, jika aliran masuk dana yang baik, imbangan akan memihak kepada kami,” kata Dr. Mahathir.

Tiada ulasan: