HALAMAN SANTAI

Selasa, 23 September 2014

Khalid Ibrahim mangsa sikap sinisnya terhadap politik

 Oleh Zeanaaima Mohd Yusof

 
Post Pic
 
 
 
[ULASAN] Kemungkinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terus bergelumang dalam politik setelah lebih enam tahun menerajui pentadbiran negeri Selangor, kini hampir pasti adalah sesuatu yang mustahil. 
 
Ini kerana sebaik sahaja mengosongkan pejabat Menteri Besar Selangor, petang semalam, beliau meluahkan pandangan dari lubuk hatinya betapa politik sebenarnya “gelanggang bagi pelawak”.  
 
"Apa yang saya minta penuh kesabaran.. Biar ahli politik berperang,  biar ahli politik berlakon.. Lama-lama mereka menjadi lawak jenaka yang dikenang selamanya," katanya ketika berucap di majlis perpisahan dengan kakitangan kerajaan negeri di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini.
 
Kenyataan itu menggambarkan kekecewaannya dan sikapnya yang sebenar terhadap dunia politik – medan orang taksub kuasa dan banyak berpura-pura. 
 
Mungkin yang menyedihkan beliau ialah hasrat berkhidmat di Selangor harus berakhir apabila dipecat oleh parti politik, PKR, yang beliau turut bina sendiri.
 
Khalid menyertai PKR sebelum pilihanraya umum ke-12. Pengalaman korporatnya membantu PKR membentuk persepsi baik di minda rakyat betapa perjuangannya disertai oleh tokoh-tokoh besar seperti Khalid.
 
Apabila tanpa banyak soal, PKR mencalonkannya menjadi Menteri Besar Selangor sebaik sahaja keputusan pilihanraya umum 2008 diumumkan, Khalid berasa cita-citanya ingin berkhidmat sudah tercapai. 
 
Selangor disusunnya sebagai sebuah badan korporat. Beliau amat berhati-hati apabila dikunjungi oleh ahli-ahli perniagaan kerana “melayan kecurigaan bahawa mereka sentiasa berminat untuk membuat untung”.


Khalid juga lebih berhati-hati dengan setiap kunjungan ahli politik kerana memang beliau sinis dengan gelagat mereka yang sentiasa berfikir cara untuk berkuasa. 
 
Malah sejak bergiat dalam dunia korporat dan menggauli politik Umno sebelum itu, beliau amat berwaspada terhadap spesis politik yang “bukan sahaja kemaruk kuasa malah mahu mengaut laba material pada masa sama”. 
 
Ini mendorong ramai ahli perniagaan yang sama ada secara senyap dan terbuka yang mengadu kepada demang-demang politik bahawa Khalid ini bersikap sinis terhadap mereka.
 
PKR tak suka Khalid 
 
Dihimpun dengan pengalaman kebanyakan ahli politik yang melihat dan merasakan sendiri bagaimana Khalid adakalanya bersikap dingin terhadap mereka, kehadiran Khalid sebagai ketua eksekutif Selangor membuat mereka tidak selesa.
 
Sikap sinisnya terhadap ahli-ahli politik ini amat disedari oleh ahli keluarganya sendiri. Ini mendorong ada di antara mereka berdoa supaya Khalid “dibebaskan” dari jawatan politik dan aktif sebagai penyokong sahaja. 
 
Keluarganya khuatir sikap sinis Khalid ini akan dibalas oleh pelbagai fitnah dan cabaran hingga ada yang berseloroh mereka sanggup “menderma pada PKR jutaan ringgit” jika Khalid diizinkan melepaskan jawatan Menteri Besar. 
 
Gelagat “dingin” Khalid ini meresahkan ahli dan pimpinan parti sehingga beberapa kali mereka mendesak pucuk pimpinan “merehat dan menggantikannya” 
 
Maka beliau diturunkan dari menjadi Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor supaya dapat menumpukan perhatian mentadbir negeri pada tahun 2010.
 
Keadaan ini menyebabkan Khalid semakin jengkel dengan ahli politik dan beliau semakin sukar “menyembunyikan” ketidakselesaannya bergaul dengan mereka. 
 
Khalid berkira beliau mempunyai pengalaman cukup untuk mengendalikan tanggungjawab seorang Ketua Eksekutif untuk mengemudikan Selangor menurut acuan beliau sendiri. 
 
Beliau semakin menjarakkan diri dari orang politik dan sering ponteng mesyuarat Biro Politik PKR. Ini merenggangkan lagi beliau dari dunia politik PKR.
 
Apabila tidak terkawal resahnya terhadap permainan politik dalam parti, Khalid berkira cara terbaik “melentur sikap ahli politik” ialah dengan bersaing  merebut kuasa politik. Beliau bertanding jawatan Timbalan Presiden tetapi kalah. 
 
Akibatnya, tekanan dan lakonan kelompok politik semakin membebankannya dan akhirnya beliau dipecat dari PKR kerana ingkar perintah berhenti menjadi Menteri Besar. 
 
Maka Khalid membuat kesimpulannya sendiri. Politik ialah untuk pelakon dan orang gemar berperang yang akhirnya akan diketahui umum mereka sebenarnya hanya pelawak.
 
Selamat tinggal Khalid, mujur anda tidak jadi badut politik.

Tiada ulasan: