HALAMAN SANTAI

Jumaat, 19 September 2014

Tiada lagi jalan untuk berpatah balik

 
Hukuman menguatkan lagi semangat untuk berjuang kearah memansuhkan Akta Hasutan.


Sedition


KUALA LUMPUR: Aktivis Mahasiswa, Adam Adli Abd Halim menyifatkan hukuman yang dikenakan terhadapnya adalah satu bentuk hukuman yang cuba ditonjolkan oleh pihak kerajaan bagi menakut-nakutkan rakyat Malaysia.

Jelasnya lagi, pihak kerajaan kini sudah tersalah langkah kerana terus mencuba dan menonjolkan ‘state power’ kepada rakyat.

“Kalau kita lihat, banyak badan pemantau yang mengecam Akta Hasutan 1948 dan hukuman penjara yang dikenakan terhadap saya selama 12 bulan itu adalah atas dasar menghukum mereka yang berbeza pendapat dengan pihak kerajaan.

“Mengikut apa yang diperkatakan oleh pihak Timbalan Pendakwa Raya, mereka yang berbeza pendapat adalah satu jenayah yang kejam,” katanya sewaktu ditemui media selepas membayar denda RM5,000 kepada pihak mahkamah.

Adam yang juga bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) turut menjelaskan bahawa dia akan tetap meneruskan kempen supaya Akta Hasutan 1948 dihapuskan dalam usahanya untuk membebaskan lebih ramai lagi yang ditahan dan disimpan di bawah Akta Hasutan 1948 ini.

“Kita perlu meneruskan tekanan ini supaya akta ini dihapuskan,” ujarnya.

Walaubagaimanapun, sewaktu diaju soalan oleh pemberita mengenai keadaannya selepas ini untuk terus berjuang bagi menghapuskan Akta Hasutan 1948, Adam menjelaskan walaupun ia semakin susah, namun usaha tersebut akan terus dilaksanakan.

“Sudah tentu akan menjadi lebih susah kerana pihak kerajaan menggunakan akta ini untuk menghukum mereka yang berlainan pendapat.

“Saya juga turut bimbang, kerana jika akta ini diteruskan, lebih ramai lagi yang akan ditahan di bawah akta ini,” ujarnya.

Adam turut menjelaskan, buat masa ini, tiada lagi jalan untuk berpatah balik dan dia turut menyatakan hasratnya untuk terus berada di dalam Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH) supaya akta ini dihapuskan.

“Hukuman yang dikenakan terhadap saya akan lebih menguatkan semangat saya untuk berjuang kearah memansuhkan akta ini. Hal ini kerana apa yang lebih penting adalah untuk memberikan ruang bersuara dan demokrasi kepada rakyat Malaysia.

“Saya juga percaya lebih ramai lagi akan terlibat sama bagi menghapuskan akta ini,” ujarnya.

Tiada ulasan: