HALAMAN SANTAI

Isnin, 22 September 2014

Ulama bercakap keras tidak berhikmah?

DR AZMAN IBRAHIM 


 


KALAU kereta accident, kemek sana-sini, maka untuk nak baik pulih, kena ketuk body kuat-kuat. Kalau setakat gosok dengan kertas tisu, habis seratus kotak tisu pun tak ke mana. Ketika ini, kaedah ketuk itulah dikira cara yang paling berhikmah untuk nak baiki body kereta tersebut.

Kalau satu anggota badan contohnya kaki pesakit diabetes dah buruk serta sel-selnya sudah mati dan tidak berfungsi lagi, menyimpannya akan merbahayakan nyawa tuannya, maka ketika itu keputusannya adalah perlu dipotong. Setakat kita sapu dengan losyen, ianya tidak bermakna lagi.

Maka, potong kaki adalah cara yang paling berhikmah untuk nak mengubati masalah ini. Bukan bermakna bila doktor buat keputusan untuk potong, doktor tersebut sangat tidak berhikmah dalam merawat pesakit.

Seorang anak yang telah berusia 11 tahun, telah pelbagai cara nasihat dan suruhan dengan cara yang baik dilakukan supaya dia sembahyang tetapi tetap tak berjaya.

Maka ketika itu Islam mengizinkan supaya dia dipukul. Maka ketika itu, pukul adalah cara yang paling berhikmah untuk mendidiknya.

Kalau ada orang yang susah nak makan nasihat, macam-macam cara tetap tak berkesan tetapi bila sekali kita kata “Kamu ni bodoh!” menyebabkan dia mula berfikir, ketika ungkapan “kamu ni bodoh!” adalah cara yang berhikmah.

Kalau sekiranya ada hamba Allah ini memang merosakkan keharmonian dalam jemaah. Walaupun yang dia buat itu adalah kesilapan besar, bagi salam dalam sembahyang lebih dahulu dari Tok Imam. Walaupun jadi makmum, suara bacaannya lebih kuat dari bacaan Imam. Tok Imam sedang baca fatihah, dia dah baca surah. Kononnya kerana suara dia lebih merdu.

Walaupun begitu masih lagi berdegar-degar mempertahankan diri dan mendakwa bahawa dia tak salah. Bila kena ‘sutir pukulan barua’ maka dia boleh tersentak dan sedar, ketika itu ‘buah barua’ adalah sangat berhikmah.

Apa orang ingat, bila pegang status ulama, maka suara mesti perlahan, lembut dan lemah gemalai. Bila bercakap dengan nada keras dan tegas dikatakan tidak berhikmah? Tak selayaknya ulama bersikap tegas dan keras begitu! Maka orang yang bercakap dengan nada bodoh sebegini seumpama nak baiki kereta yang kemek kerana accident dengan kertas tisu!

Kalau sekiranya jalan dakwah Islam ini dihalang dengan kekerasan dan kekuatan, untuk membersihkannya kita perlu mengangkat senjata untuk menentang musuh, maka ketika itu mengangkat senjata adalah cara yang paling berhikmah.

Kalau sekiranya masyarakat seperti orang asli, mereka perlu diberikan hadiah dan dijamu dengan makanan, barulah mereka bersedia untuk mendengar dakwah kita, maka ketika itu, memberi hadiah dan mengadakan jamuan adalah cara yang berhikmah.

Kalau sekiranya pemerintah yang sudah ditegur dan dinasihati, tiada perubahan dan penambahbaikan dilakukan malah keadaan semakin hari semakin parah, mereka perlu diturunkan. Ketika itu tindakan menurunkan mereka dari puncak kuasa adalah cara yang berhikmah.

Kalau seseorang baling kita dengan tahi, kita balas baling balik dia dengan bunga tetapi balingan bunga kita tidak membawa sebarang erti dan makna, maka baling dengan bunga bukanlah cara yang berhikmah. Orang ini hanya akan berfikir apabila dia juga kena tahi, maka ketika itu balingan dengan tahi adalah cara yang berhikmah.

Saya reka senario-senario di atas untuk menerangkan salah faham yang sering berlaku berkaitan dengan kalimah ‘hikmah’. Ramai orang ingat hikmah itu bererti lemah lembut, kena belai, kena gosok, kena bagi bunga, tak boleh balas kejahatan orang kepada kita, kena pujuk dan pelbagai lagi.

Hikmah bermakna apakah cara dan kaedah yang paling balik dan berkesan pada waktu itu, ketika itu dan untuk yang dituju itu. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: