Ribuan berhimpun sebagai tanda sokongan kepada keputusan Sultan Selangor babit jawatan MB Selangor yang baharu di Shah Alam, hari ini. - Foto Sinar Harian Ribuan berhimpun sebagai tanda sokongan kepada keputusan Sultan Selangor babit jawatan MB Selangor yang baharu di Shah Alam, hari ini. - Foto Sinar Harian
 
 
 
SHAH ALAM – Lebih 1,500 rakyat di negeri ini yang mewakili  18 badan bukan kerajaan (NGO) termasuk penduduk setempat mengadakan Himpunan Menjunjung Kasih Sultan Selangor bagi menyatakan sokongan penuh terhadap keputusan Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam pemilihan menteri besar.

Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, BN Selangor akur dengan menteri besar pilihan sultan untuk mengemudi pentadbiran negeri agar terus maju dan stabil.

“BN bangkit apabila institusi diraja dicabar dan tidak dihormati dan akan terus berjuang sekiranya selepas majlis angkat sumpah menteri besar baharu mendapat tentangan pihak tidak berpuas hati dengan pilihan sultan.

“Kita kena sokong siapa sahaja yang diperkenan sultan, jika ada mana-mana pihak yang mempertikaikan keputusan tuanku selepas Selasa ini dan juga cuba gugat kestabilan Selangor kerana tidak puas hati dengan keputusan dibuat Tuanku maka BN tidak akan berdiam diri kita akan bangun dan terus berdiri teguh di belakang  tuanku,” katanya ketika Himpunan Menjunjung Kasih Sultan Selangor di Padang Rakyat Flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Seksyen 16, di sini.

Beliau juga mendedahkan bahawa sokongan BN kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini bukanlah untuk membentuk kerajaan perpaduan seperti didakwa sebaliknya menyokong usaha murni beliau melalui kerjasama dengan kerajaan Persekutuan menyelesaikan masalah air di negeri ini.

Noh tidak meletakkan sebarang harapan kepada menteri besar baharu kerana walau siapa pun pilihan sultan, BN kekal sebagai pembangkang di Selangor.

“Sesiapa pun dilantik kita tetap jadi pembangkang dan buat kerja sebagai pembangkang, terima sepenuhnya pilihan tuanku.

“Diharapkan semua rakyat dan parti politik akur dan terima dengan keputusan tuanku,” katanya.

Ketika diminta mengulas berhubung potensi berlakunya pembubaran Dun, Noh menyatakan beliau hanya mengharapkan selepas majlis angkat sumpah, Selasa ini segala pertikaian ini berakhir dan kelangsungan pentadbiran negeri diteruskan.

“Bubar Dun... kita tak mahu fikir sekarang. Kita harap lepas Selasa kemelut ini akan selesai, banyak kerja nak buat, Selangor mesti ditadbir dengan baik demi rakyat,” katanya.

Sementara itu, Adun Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi berkata, konflik politik yang melanda Selangor ini berpunca daripada nafsu politik, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tamakkan kuasa dan jawatan.

Nada sama turut dizahirkan bekas Ketua Penerangan Pas Selangor, Hassan Basri yang tegas menyatakan sikap rakus Anwar menyebabkan Pas dihina.

“Penyakit yang berlaku hari ini ialah penyakit nak berkuasa... penyakit iblis. Anwar buatkan maruah Pas dihina,” katanya.

Rata-rata rakyat Selangor yang hadir pada himpunan berkenaan menyatakan sokongan kepada keputusan sultan supaya perbalahan ini tidak meleret dan membantutkan pentadbiran negeri.