HALAMAN SANTAI

Isnin, 22 September 2014

TPM: Beri P Kubor sebagai hadiah buat PM

MALAYSIAKINI


 


Barisan Nasional (BN) perlu menang pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor Khamis ini sebagai hadiah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang ketika itu berada di New York, Amerika Syarikat.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kemenangan BN itu sangat penting kerana ia akan turut menjadi perhatian wakil dunia pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNGA) di New York.

"Ini sebagai semangat kepada Perdana Menteri yang ketika itu berada di New York dan kemenangan BN itu adalah mencerminkan maruah negara yang menunjukkan sebahagian besar rakyat masih memerlukan BN," katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Timbalan Perdana Menteri di rumah keluarga Allahyarham Haji Mahmod Kamaruddin di Kampung Telaga Bata di Tumpat hari ini.

Najib kini berada di New York sehingga 28 Sept ini bagi menghadiri UNGA dan antara program beliau di sana adalah dijemput sebagai penceramah utama pada Majlis Pelancaran Antarabangsa Global STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) Alliance.

Sementara itu, Muhyiddin turut menyelar sikap pembangkang yang pernah menfitnah BN sebagai parti kafir dan berdosa jika mengundi BN.

"Kukuh Umno kukuhlah Islam. Sokong Umno adalah untuk kuatkan Islam yang mana Kelantan seperti sekolah agama turut mendapat rahmat dengan diberikan peruntukan besar kepada pembangunan sekolah berkenaan," katanya.

Ketika berucap selepas solat zuhur di Masjid Pengkalan Kubor, Muhyiddin berkata umat Islam di negara ini perlu bersatu tanpa mengira apa fahaman politik.

"Walau apa perbezaan sama ada dari segi ideologi atau fahaman, kita perlu bersatu kerana perjuangan sebenar kita adalah untuk mendapat keredaan daripada Allah S.W.T," katanya.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada BN Datuk Noor Zahidi Omar pada 20 Ogos lepas.

Pada PRK itu, calon BN Mat Razi Mat Ail akan ditentang calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.

Pada pilihan raya umum ke-13 lepas, Allayarham Noor Zahidi mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan Izat Bukahary (Bebas) dengan majoriti 1,736 undi. - Bernama

Tiada ulasan: