HALAMAN SANTAI

Isnin, 22 September 2014

AMK: Libatkan parti di Sabah, S'wak lawan BN

MALAYSIAKINI


 


AMK menggesa Pakatan Rakyat memulakan inisiatif baru dengan mengajak parti politik lain termasuk dari Sabah dan Sarawak "berganding bahu" berdepan BN pada pilihan raya umum akan datang.

Timbalan Ketuanya Dr Afif Bahardin turut mengajak Pakatan bersatu dan kembali kepada penubuhan asal Pakatan untuk menegakkan keadilan dan kebebasan demi membentuk Malaysia yang gagah.

"Sesungguhnya rakyat menaruh harapan yang cukup tinggi untuk melihat sebuah Pakatan Rakyat yang utuh dan kuat untuk terus membela dan memartabatkan hak mereka," katanya dalam kenyataannya.

Dr Afif juga menggesa kepimpinan Pakatan segera mencari titik persamaan dan menjadikan semangat muafakat untuk mengukuhkan semula Pakatan Rakyat ekoran dilanda pelbagai masalah termasuk krisis menteri besar Selangor.

Menurutnya, perbezaan pendirian berhubung hal itu mengundang pergeseran terbuka sesama pemimpin.

"Ini seterusnya mengundang tafsiran serong di mata rakyat serta menjejaskan reputasi para pimpinan Pakatan Rakyat ke tahap yang cukup membimbangkan," kata exco kerajaan Pulau Pinang itu lagi.

Dr Afif juga berkata pihaknya mengambil maklum pandangan dan kritikan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapan penggulungannya di Muktamar PAS kelmarin "dengan penuh keterbukaan".

Katanya, kerjasama politik perlu dilandaskan nilai kebersamaan dan kepercayaan demi memperjuangkan prinsip keadilan dan kebebasan dalam kerangka yang diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan.

"Maka sewajarnya semangat dan matlamat ini digarap dan dihidupkan semula demi memulihkan kembali hubungan dua hala yang kini kelihatan keruh di antara PAS, DAP dan PKR," katanya.

Tiada ulasan: