HALAMAN SANTAI

Selasa, 23 September 2014

Jalan yang hak itu berduri-duri, jalan yang bathil itu dipenuhi keju dan roti yang enak




Tok Guru Haji Hadi Awang (TGHA) dalam ucapan penggulungan Muktamar partinya berkata beliau tidak dapat mengikut tindakan DAP dan PKR dalam isu Menteri Besar Selangor kerana jika diikuti, PAS terpaksa mengorbankan banyak prinsip perjuangan parti.

PAS telah melalui waktu yang pahit dalam menghadapi isu Menteri Besar Selangor kerana PAS mempunyai pendirian yang berbeza dalam isu ini. TGHA berkata apabila kita ada Raja yang mengetuai Agama Islam dan berkaitan dengan Melayu, PAS tidak boleh berpeluk tubuh dan terpaksa membuat pendirian.

Pendirian itu sejajar dengan prinsip perjuangan partinya sambil bekerjasama dengan dua parti lain, iaitu DAP dan PKR yang mempunyai prinsip yang berbeza diantara satu parti dengan parti yang lain. TGHA telah bertegas untuk tidak mahu lagi partinya dijadikan sebagai 'alat dan kenderaan' bagi parti-parti lain untuk mencapai matlamat dan tujuan yang terlalu berbeza dengan matlamat PAS itu sendiri.

TGHA juga melahirkan rasa kecewa beliau dengan tindakan dua orang ADUN dari PAS yang dengan tergesa-gesa menandatangani akuan bersumpah untuk memberikan sokongan kepada Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor. Sikap tidak bertanggungjawab dua ADUN itu tidak dapat diterima oleh TGHA dan beliau beranggapan mereka sebagai pemimpin yang boleh dijual beli dalam perjuangan mereka. TGHA bertanya, mana yang lebih kuat bai’ah atau akuan bersumpah?

TGHA menambah yang beliau tidak sanggup mengenepikan asas dan prinsip parti itu semata-mata kerana hendak mendapat kuasa. Lain-lain makna kata-kata TGHA itu ialah kita tidak boleh mengambil pendirian tindakan menghalalkan cara dalam mendapat kuasa.

Apa pun kerjasama diantara ketiga-tiga parti itu bukannya kerjasama yang ‘formal’ kerana Pakatan Rakyat tidak terdaftar. Ia hanyalah kerjasama dalam usaha memenangi pilihanraya sahaja. Itu sebabnya dalam Pakatan Rakyat, DAP menentang penubuhan negara Islam sedangkan PAS bermatlamatkan untuk mencapai taraf negara Islam.

Mencari ‘reconciliation’ diantara prinsip DAP dan PAS tentang isu kerajaan negara Islam ini tidak mungkin dapat dicapai sampai bila-bila kerana PAS tidak mungkin duduk berbincang kepada mereka yang anti-negara Islam itu.

PAS tidak mungkin betul jika parti itu mengharapkan DAP untuk menyelesai dan mencapai matlamat dan ‘ultimate’ PAS dalam memperjuangkan Islam itu. PAS mesti memahami yang didalam Islam itu sendiri perlu mempunyai ‘point of reconciliation’ diantara hukum syariat dan perlaksanaan prinsip Islam yang berdasarkan kepada hukum fekah dan hakikat dan ini memerlukan teman dan taulan yang memahami kedua-dua elemen didalam Islam itu.

PAS sudah mulai sedar yang berkompromi dengan prinsip perjuangannya semata-mata untuk mendapat sokongan maka akhirnya parti itu akan dipermainkan oleh rakan sendiri dan menggunakan parti itu sebagai ‘papan landasan untuk menyiang ikan dan memecahkan tulang-tulang yang keras’ sahaja.

TGHA berkata dalam Muktamar dua hari lepas yang PAS wajar kembali untuk menyandarkan harapan kejayaan perjuangannya dalam keredhoanNya maka amat wajar dari syariatnya melakukan apa yang sepatutnya dilakukan mengikut kehendakNya bagi menyediakan tempat rahmat itu sampai dan diletakkan olehNya.

PAS sepatutnya memerangi perlakuan mana-mana pihak untuk mendapatkan laba dengan cara yang tidak diredhoiNya dan agama telah menetapkan cara syariatnya segala perkara yang boleh dijadikan tanda arah untuk melalui jalan yang di redhoi itu.

Bagi mereka yang inginkan rahmat ia juga telah ditentukan syaratnya. Untuk mendapatkan rahmat dan keredhoan pemimpin itu wajar menjauhi kumpulan yang dipandu oleh nafsu semata-mata, kerana nafsu itu adalah alat panduan ‘evil and devilish elements’.

Jika pemimpin itu sentiasa dikellilingi oleh kumpulan yang sentiasa memperjuangkan ‘evil courses’ tidak akan sampai keredhoan yang dicari itu. Hanya jika kita telah terjumpa hikmahnya jangan sekali-kali berundur dari melakukan tindakan yang benar walaupun ia perit untuk dilakukan.

Jalan untuk mencari kebaikan dan keredhoan itu semestinya jalan yang amat sukar. Untuk mendapatkan hasil yang tidak diredhoi dan yang boleh memusnahkan manusia itu mudah untuk dicari dan dijumpai.

Jalan ke syurga itu dipenuhi dengan onak dan duri dan sebaliknya jalan ke neraka itu dipenuhi oleh keju dan roti yang enak-enak. Tetapi jika PAS merasakan terlalu payah untuk melalui jalan yang diredhoi itu, masa masih banyak untuk melalui jalan yang dipandu oleh yang bathil dan kufur yang luas dan terbuka itu. tentu ia akan disambut dengan gegak gempita dari mereka yang menaja kebathilan itu.

Itu PAS sendirilah yang menentukan jalan mana yang hendak dilalui mereka

Tiada ulasan: