HALAMAN SANTAI

Ahad, 21 September 2014

Panggil berhujah, jangan tuduh di media - Salahuddin

MUHAMMAD FAIZAL


BATU PAHAT: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub meminta semua pihak yang tidak bersetuju dengan pendapat mana-mana pimpinan memanggil mereka untuk berhujah dan bukannya membuat tuduhan di dalam mana-mana media baru.

Beliau menegaskan melalui forum atau wacana yang diadakan ia dapat memberi peluang kapada individu terbabit untuk menyatakan pendapat mereka.

"Kita dididik dengan kasih sayang di dalam PAS sejak sekian lama, namun apa yang mengecewakan kebelakangan ini melalui media baru ada pihak yang menuduh pimpinan kita dengan pelbagai tuduhan.

"Menuduh sekular, profesional, siapa sekular dan profesional, Khalid Samad, Mat Sabu, Hanipa Maidin atau saya sendiri.

"Kita jangan menuduh tetapi panggil mereka untuk memberi penerangan dan bincang, panggil pendebat yang hebat untuk berdepan dengan mereka dan saya pasti ini medan yang terbaik," ucap beliau pada sesi penggulungan di Muktamar Tahunan PAS ke-60, hari ini.

Beliau turut menasihati agar Pemuda PAS Malaysia memperkasakan barisan kepimpinan sayap itu dengan hala tuju politik yang jelas dan bukan terus mengkritik bagi persediaan untuk mengambil barisan pimpinan pada masa akan datang.

"Delegasi kepimpinan Pemuda ini kita warisan dari pimpinan yang hebat dan ini sepatutnya kita warisi sehingga sekarang.

"Kita perlu berjiwa besar kerana kita dari PAS, sebuah parti yang menjiwai syariat Islam. Pemuda perlu menjiwainya untuk, jangan timbul isu untuk menjatuhkan kepimpinan kita.

"Kita memiliki pemimpin yang berjiwa besar seperti Presiden PAS dalam memacu hala tuju parti kita untuk terus disegani oleh semua pihak," kata beliau di hadapan perwakilan.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Permerkasaan Parti turut menjelaskan beberapa perkara telah dirangkakan dalam usaha memperkasakan parti.

"Empat perkara sahaja yang kita rangkakan dalam Lembaga Permerkasaan Parti sebagai fokus kita antaranya adalah melihat kembali kedudukan Perlembagaan PAS, kita menerokai dan memperkukuh hubungan kita dengan masyarakat luar, NGO dan juga jabatan-jabatan kerajaan di peringkat negeri dan pusat.

"Kita turut mencadangkan penubuhan Jabatan perhubungan Awam di peringkat parti dan ke empat kita akan mengangkat imej dan penampilan parti melalui pendekatan yang bersikap inovatif," kata beliau.

Jelas beliau, melalui amanah yang diberikan fokus yang pertama dan diberi keutamaan adalah melihat secara keseluruhan tentang Perlembagaan PAS.

"Pada hari pertama PAS ditubuhkan pada tahun 1951 mungkin ahlinya tidak sampai 100 orang tetapi hari ini mengikut catatan Pejabat Agung PAS, ahli PAS telah mencapai satu juta orang.

"Setiap bulan kita mengadakan mesyuarat bulanan hampir dua ribu ahli baru telah kita luluskan, ini bermakna parti kita diibaratkan sebagai sebuah keluarga yang besar dan dipersetujui tadi anak bongsu kita Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).

"Tanggungjawab saya dan rakan-rakan yang telah diamanahkan oleh kepimpinan supaya perlembagaan kita ini menjadi lebih dinamik tidak beku untuk kita menghadapi perkembangan baru di dalam parti," ucapnya lagi.

Kata beliau lagi, setelah kelulusan diperolehi di peringkat PAS Pusat dalam beberapa pindaan di dalam Perlembagaan PAS, satu Muktamar Khas akan diadakan pada tahun hadapan bagi mendapat persetujuan semua.

Antara beberapa pindaan yang dicadangkan adalah pemilihan jawatankuasa dipinda kepada tiga tahun dari dua tahun, mewujudkan lebih banyak jawatan di dalam parti kerana terdapat ramai golongan ulama muda dan profesional menyerta PAS, menaikkan kepada 25 jawatan yang dipertandingkan pada pemilihan dari 18 yang ada sekarang serta mewujudkan jawatan-jawatan baru di dalam Dewan Harian. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: