Seperti yang diketahui undangan telah dibuat kepada pihak-pihak tertentu untuk menghadiri istiadat mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Selangor, pada hari Selasa, jam 10 pagi di Balairong Seri, Istana Alam Shah, Klang.
Tetapi sehingga semalam, teka-teki belum berjawab: Siapakah gerangan yang bertuah menduduki kerusi panas menteri besar menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim? Sudah lebih tiga bulan semua gelisah dan tertanya-tanya.
Sejak dulu hingga kini kerusi yang satu itu memang sentiasa panas. Sampai saat-saat akhir pun tidak diketahui siapakah MB Selangor yang baharu?
*ADA yang kata kerusi itu akan diduduki oleh wakil Pas @ Adun Cempaka, Iskandar Abdul Samad. Tetapi ada orang Pas sendiri tidak setuju Iskandar menggantikan Khalid.
Berucap pada muktamar di Batu Pahat, Johor, wakil Pas Perlis, Wan Kharizal Wan Khazim berkata, jawatan itu perlu ditolak selaras dengan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat pada 17 Ogos lalu bahawa kerusi MB diberikan kepada PKR.
Ada pula yang kata orang PKR @ Adun Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali akan dilantik MB baharu Selasa ini. Tetapi sumber PKR memberitahu pelantikan Azmin adalah ‘janggal’. Kalau ikut istilah, ‘janggal’ maknanya ‘tidak sesuai’.
Alasan yang diberikan ialah Azmin tidak pernah dicalonkan oleh parti, sebab parti hanya mencalonkan Datuk Seri Dr Wan Azizah @ Presiden PKR @ isteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sementelahan pula Dr Wan adalah satu-satunya calon yang disahkan mendapat sokongan – 30 undi – sebahagian besar Adun, maka beliaulah paling layak.
Bagaimana pun setakat semalam, hasrat Dr Wan untuk jadi MB masih kabur, kerana seperti yang dilaporkan media “apa yang pasti pihak istana tidak akan memilih calon wanita sebagai MB”.
Tetapi ada ketikanya yang pasti boleh menjadi tidak pasti; yang tidak pasti boleh menjadi pasti. Tungguuu...
*ADA yang suka Iskandar menjadi MB baharu, sebab sekian, sekian, sekian. Ada pula yang berharap sangat Azmin menggantikan Khalid, sebab sekian, sekian, sekian. Yang hendakkan Dr Wan pun ada seribu satu macam sebab.
Tetapi, ada juga yang seperti kecewa dan berkata: “Siapa pun yang menjadi MB, aku tak kisah.” Dia marah bukan sebab calonnya tidak dipilih, tetapi kecewa sebab sudah terlalu lama isu MB berlarutan. Sepatah katanya: “Lagi lama lagi lok-lak, kalut!”
*SEMAKIN ramai yang dikaitkan dengan kes kebocoran soalan UPSR. Setakat Jumaat dua lagi guru telah ditahan, menjadikan jumlah tangkapan isu bocor menjadi 14 orang.
Menurut polis sehingga kini, seramai 22 individu telah dipanggil untuk memberi keterangan termasuk enam pegawai Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM), 13 guru, dan masing-masing seorang wartawan, ejen insurans dan jurutera.
Tahun ini kertas peperiksaan Bahasa Inggeris dan Sains dibatalkan dan murid-murid terpaksa menduduki semula peperiksaan pada 30 September. Ada yang telah membeli tiket penerbangan untuk bercuti bersama keluarga ke luar negara, terpaksa membatalkan percutian. Rugi masa, rugi tenaga, rugi duit.
Dalam pada itu dua pegawai tertinggi LPM telah digantung jawatan, satu langkah yang dilihat oleh banyak orang – termasuk kesatuan guru – sebagai tindakan tegas kerajaan untuk meningkatkan keyakinan umum terhadap lembaga tersebut.
Kalaulah ketegasan seperti ini dilakukan sejak lama dulu, tidaklah kebocoran berulang setiap kali ada peperiksaan. Mudah-mudahan selepas ini tidak ada lagi bocor-bocor.
*AKHIR kalam, walaupun lebih 2,000 orang seluruh dunia telah mati akibat Ebola, di negara kita setakat ini tidak seorang pun disahkan terkena virus maut yang teruk melanda Afrika Barat itu.
Seperti yang ditegaskan oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam, orang ramai tidak perlu panik dengan wabak berkenaan dan kerajaan akan memaklumkan kepada umum jika terdapat sebarang kes positif virus tersebut.
Buat masa ini ada baiknya kita lebih berwaspada terhadap sang Aedes pembawa denggi yang terbukti telah meragut banyak nyawa di tempat kita. Sama-sama kita bersihkan persekitaran supaya Aedes tidak membiak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan