HALAMAN SANTAI

Selasa, 23 September 2014

Sultan Selangor: "Kenapa beta pilih Azmin"

 Oleh Wan Anis Ilyani W. M. Azhar

 
Post Pic



KLANG: Sultan Selangor hari ini bertitah pelantikan Azmin Ali sebagai MB baharu Selangor adalah berasaskan keyakinan beliau mempunyai sokongan bulat PKR, PAS dan DAP untuk menubuhkan kerajaan negeri.

Sehubungan itu, baginda menegaskan pelantikan Timbalan Presiden PKR itu adalah mengikut undang-undang tadbir kerajaan negeri.
 
"Ingin dijelaskan lagi sekali bahawa Sultan Selangor tidak pernah mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri selain daripada menasihati menteri besar.
 
"Sultan Selangor hanya bertindak menurut budi bicara baginda, sebagaimana yang diperuntukkan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959," kata Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dalam satu kenyataan.
 
Kenyataan istana itu menyusul kurang 24 jam selepas PKR menegur Sultan Sharafuddin Idris Shah kerana menolak pencalonan Datuk Seri Dr Wan azizah Wan Ismail untuk dilantik sebagai MB.
 
Majlis Pimpinan Parti dalam satu kenyataan malam tadi berkata, Wan Azizah paling layak menyandang jawatan itu kerana mempunyai sokongan 30 daripada 56 ADUN negeri.
 
Wan Azizah bagaimanapun semalam menarik balik pencalonanya dan berkata parti itu menyokong penuh Azmin kerana tidak mahu memanjangkan lagi isu berkenaan.
 
Kata Munir, Azmin dilantik sebagai MB kerana kedudukannya dalam PKR dan juga sebagai ADUN Bukit Antarabangsa.  
 
"Yang Berhormat Mohamed Azmin Ali yang juga merupakan Timbalan Presiden PKR dan oleh itu sultan mempunyai keyakinan seorang timbalan Ppresiden yang dipilih pasti mempunyai sokongan padu bukan sahaja dari PKR malah dari PAS dan DAP yang membentuk kerajaan gabungan untuk mentadbir kerajaan Selangor," kenyataan itu dipetik.
 
Sehubungan itu dengan pelantikan yang baharu ini, Sultan Selangor mengharapkan Azmin sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan di dalam pentadbirannya kelak.
 
"Sultan Selangor berharap agar Mohamed Azmin Ali dapat menjalankan tugas dengan penuh bertanggungjawab, jujur, ikhlas dan berintegriti yang tinggi dan akan sentiasa mendahului kepentingan rakyat Selangor di dalam pentadbiran beliau," kenyataan itu dipetik berkata.

Tiada ulasan: