Anggota JPAM sedang berusaha menyelamatkan kanak-kanak berusia tiga tahun yang terperangkap dalam kereta bapanya di stesen minyak di bandar Jasin, malam kelmarin. Anggota JPAM sedang berusaha menyelamatkan kanak-kanak berusia tiga tahun yang terperangkap dalam kereta bapanya di stesen minyak di bandar Jasin, malam kelmarin.
 
 

JASIN - Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun nyaris lemas selepas terperangkap dalam kereta milik bapanya di sebuah stesen minyak di bandar Jasin, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 8.30 malam itu, kanak-kanak terbabit ditinggalkan berseorangan dalam kereta jenis Proton Ixora selepas bapanya ke kaunter minyak sebelum kereta yang dimatikan enjin itu terkunci secara tiba-tiba.

Seorang pekerja stesen minyak itu yang enggan dikenali berkata, tidak lama selepas lelaki berusia 40-an itu ke kaunter stesen minyak, penggera keretanya berbunyi sebelum dia mendapatkan kenderaannya dan mendapati kunci kereta tertinggal di dalamnya.

Menurutnya, ketika itu kanak-kanak terbabit sedang tidur dalam kenderaan berkenaan sebelum terjaga beberapa minit kemudian.

“Saya kemudian meminta pelanggan menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk membantu membuka pintu kereta tersebut.

“Biarpun tersedar dari tidur, kanak-kanak itu tidak menangis dan sempat diagah oleh orang ramai bagi menghilangkan rasa ketakutan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi JPAM daerah Jasin Sarjan Mejar Muhamad Alif Abd Rahman berkata, dia mengambil masa kira-kira 30 minit untuk menyelamatkan kanak-kanak terbabit selepas terpaksa memecahkan salah sebuah cermin kenderaan itu.

Menurutnya, sebelum itu, dia bersama empat anggotanya berusaha membuka cermin tingkap kereta sebelah kiri dengan cara manual, namun tidak berjaya.

“Disebabkan itu, kami terpaksa memecahkan cermin kereta berkenaan bagi menyelamatkan mangsa,” katanya.