Menteri kerajaan dilindungi Akta Rahsia Rasmi
1972 yang dipinda untuk membenarkan menteri berkuasa penuh untuk
melabel apa-apa sahaja dokumen sebagai rahsia.
Menurutnya, Musa dan Mohd Khairul dilaporkan ingin mencadangkan supaya diperkenalkan hukuman mati dalam Akta Hasutan.
“Adakah mereka ini begitu terdesak untuk menghalalkan pembunuhan sistematik bagi pengkritik-pengkritik kerajaan? Kenyataan sebegini amat tidak bertanggungjawab dan amat bertentangan dengan prinsip demokrasi yang didukung oleh Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelas Ahli Parlimen Lembah Pantai itu lagi, rakyat juga terus disekat dari bersuara dengan Akta Perhimpunan Aman 2012 yang menafikan hak rakyat sebuah negara demokrasi.
Tambahnya lagi, akauntabiliti ini telah tercemar apabila menteri kerajaan dilindungi Akta Rahsia Rasmi 1972 yang dipinda untuk membenarkan menteri berkuasa penuh untuk melabel apa-apa sahaja dokumen sebagai rahsia. Media pula dikekang daripada bersuara dengan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
“Saya menyeru Datuk Seri Najib untuk menyempurnakan janji transformasi politik beliau dan menunjukkan keberaniannya. Jangan biarkan Malaysia terus hanyut tanpa kemudi.
“PKR bersedia untuk mendukung usaha pendemokrasian negara bersyarat jika wujudnya keikhlasan politik,” ujarnya.
Selain itu, Izzah turut mengecam tindakan yang dikenakan terhadap Adam Adli Abd Halim apabila pengkritik kerajaan terus dijadikan mangsa di dalam Akta Hasutan 1948.
Katanya, janji manis Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abd Razak pada 11 Julai 2012 untuk menghapuskan undang-undang penjajah (Akta Hasutan 1948) telah membuka satu harapan baru bagi demokrasi di Malaysia.
“Ramai mungkin berasa sangsi namun pada 12 Julai 2012 Tan Sri Muhyiddin telah mengeluarkan kenyataan bahawa, ‘langkah pemansuhan akta itu adalah bukti kerajaan menepati janji untuk melaksanakan transformasi nasional dan sekaligus menangkis persepsi pihak tertentu bahawa kerajaan menggunakan akta itu terhadap pihak tertentu’,” katanya.
Namun malangnya, kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan menggunakan tema Janji Di Tepati dan ‘Endless Possibilities’ gagal untuk melaksanakan transformasi politik yang dibangga-banggakan dengan pentadbiran Najib Razak.
“Pada 12 September 2014, Najib akhirnya memungkiri janji dan mengumumkan bahawa kerajaan tidak akan terburu-buru untuk memansuhkan Akta Hasutan.
“Namun malangnya, transformasi politik kerajaan BN lebih bercirikan penukaran nama undang-undang sahaja. Buktinya, Akta Hasutan masih tidak dimansuhkan selepas diumumkan selama dua tahun, jika dimansuhkan ia akan digantikan dengan Akta Keharmonian Nasional,” katanya.
Menurut Izzah lagi, sebelum ini, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 telah dimansuhkan namun diganti dengan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 dengan kuasa drakonian dan penahanan tanpa bicara yang sama di bawah ISA.
“Transformasi politik laungan kerajaan ini sebenarnya bukanlah ke arah demokrasi yang lebih baik tetapi ke arah kekangan dan penindasan kebebasan bersuara.
“Tidak cukup dengan itu, terdapat juga undang-undang baru seperti Akta Keterangan (Pindaan) 2012 yang mengekang hak rakyat untuk bersuara terutamanya di laman sosial seperti blog, Facebook dan Twitter.
“Lebih zalim, undang-undang ini menggunakan prinsip bersalah sehingga dibuktikan tidak bersalah,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan