Haron Din, perlu berterus terang. |
Beliau tidak menyebut apakah Pas perlu bersendirian atau membuat projek politik baru, tetapi boleh difahamkan, cadangan itu untuk membawa Pas bekerjasama dengan Umno. Dalam waktu ke belakangan ini saya melihat Haron adalah arkitek membina kerjasama Pas dengan Umno.
Alasan cadangan itu dibuat kononnya untuk mengelakkan fitnah terhadap para ulama kerana menurutnya hari ini setiap hari Majlis Syura Ulamak (MSU), presiden dan semua anggota Pas dilempar fitnah. Siapa gerangan yang membuat fitnah?
Sedap dan indah bunyinya Haron membela golongan ulama, persis melagukan ayat-ayat Quran dengan irama Hijad, Bayati, Nahwan, dan sebagainya tanpa mengambil kira kepada golongan bukan ulama yang juga dilempar fitnah. Yang terlempar dengan tahi dan najis fitnah dalam Pas hari ini bukan sahaja ulama, tetapi golongan bukan ulama juga terkena sama bahkan lebih teruk dan memalukan.
Haron Din seharusnya melihat secara meluas dan tidak memfokuskan kepada kaum kerabatnya sahaja.
Golongan bukan ulama juga menghadapi gejala sama, dihujani batu fitnah bila mana ada sesetengah golongan merasakan mereka fakeh agama, melempar fitnah bagaikan menabur benih padi huma. Ia dilakukan dalam group WhatsAap, Facebook, Twitter dan pelbagai media baru. Fitnah dalam grup WhatsAap sangat buruk kerana penikmati fitnah menghayati fitnah secara bersendiri dan sama-sama ketawa. Pelemparnya pula berada dalam gelap tidak menunjukkan muka. Biasanya yang bermain dalam gelap hantu dan syaitan.
Pemain fitnah dalam grup ini adalah manusia yang pengecut dan tidak bertanggungjawab. Mereka melakar bara fitnah dan menyalahkan sesamanya. Asap fitnah dijadikan dupa untuk melimaukan diri. Sebagai seorang pakar menangkap jin Haron seharusnya ikut sama mengesan akan kegiatan ini yang berlaku berleluasa dalam Pas. Atau lebih afdal beliau mungkin boleh mengarahkan jin menangkap pemfitnah dalam Pas.
Menyedihkan kerana benih fitnah itu ditabur orang memakai kupiah dan serban menyebabkan orang ramai menelannya bagaikan keli Afrika lapar menelan cacing yang disangkut mata kail. Fitnah dari kalangan orang agama lebih berbahaya daripada fitnah dari orang jahil kerana mereka dianggap sebagai "warsatul ambia" - pewaris nabi-nabi.
Mengenai sarananya agar tahaluf syiasi dikaji, kerana Pas kini menghadapi suasana politik yang mengawat jadi pada ketika ini Pas perlu mengambil jalan terakhir dengan keluar dari Pakatan sekiranya syarat kerjasama itu tidak dapat dipulihkan. Memahami seruan dan cadangan itu menunjukkan Haron bersungguh benar mahu mengheretkan Pas keluar daripada Pakatan Rakyat dan tidak lagi nampak akan keistimewaan buat Pas dengan kerjasama itu. Apakah pancing dan umpan yang dihidang Umno dengan seribu janji indah mengugat akidah kepercayaan kepada Pakatan Rakyat?
Persoalan kini siapakah atau golongan mana yang tidak memenuhi syarat Pakatan Rakyat. Mungkin senario di Selangor dalam isu mencari pengganti MB Selangor menjelaskan akan golongan mana atau individu mana yang cuba mengagal atau mencemarkan syarat Pakatan Rakyat. Apakah HaronDin buta mengenai hal ini? Semua rentetan peristiwa di sepanjang isu di Selangor itu boleh diperhatikan dan menemui jawaban siapa yang mengkhianati syarat-syarat yang terkandung dalam Pakatan Rakyat.
"Tahaluf (kerjasama) dibina atas nasihat ulama yang mempunyai syarat dan rukun yang perlu dipenuhi. Sekiranya semua dipenuhi, ulama mempertahan tahaluf demi kepentingan Islam dan jemaah, bukan untuk kepentingan individu," demikian kata Haron dipetik.
Dan ujarnya, sekiranya syarat dilanggar, rukun dirobohkan, ulama wajar memikirkan balik kalau ia boleh diteruskan (atau tidak).
Dalam politik sekular yang diterima pakai dalam Pas, tanggungjawab berusaha untuk mencapai kemenangan bukan mutlak terletak kepada puak ulama. Peranan golongan lain juga penting. Melainkan Pas tidak sedia untuk menghadapi pilihan raya. Mungkin kerana gagal memahami akan rukun-rukun pilihan raya demokrasi inilah yang memerlukan strategi, taktik dan sebagainya menyebabkan Haron Din berkali kali dan berkali-kali tewas dalam setiap pilihan raya disertainya.
Sebagai orang berada dalam gelanggang pilihan raya Haron harus mengkaji kenapa beliau kalah. Apakah beliau seorang yang suci dengan prinsip Islam, tetapi kalau benar begitu beliau tidak layak berada dalam gelanggang politik. Elok kalau beliau memunggah Pas keluar daripada gelanggang politik. Pas bukanlah Darul Syifa yang tidak menghadapi apa-apa cabaran ataupun tribulasi. Pas adalah badan siasah bukannya institusi pengubatan yang perlu diuruskan dengan bijaksana sesuai dengan peredaran zaman dan rukun-rukun politik itu sendiri.
Seseorang calon Pas tidak akan menang kalau hanya setakat berdoa, solat hajat, minum air jampi dan sebagainya tanpa disertai dengan usaha dan iktiar yang bijaksana.
Sekali pandang cadangan Haron itu nampak diplomasi, dan mempertahankan tahalul syiasi dengan PKR dan DAP, tetapi bagi jauhari yang mengenali maknikam tidak berasa terkejut dan anih dengan cadangan itu. Orang yang makrifat dapat membaca kilau dalam kilat dan memahami apa yang tersirat. Seseorang itu tidak akan bercakap sesuatu yang berada di luar mindanya. Ertinya bagi Haron Din sudah ada agenda agar Pas meninggalkan Pakatan Rakyat?
Selama ini pun Haron Din sudah menunjukkan belang dan sikapnya terhadap kerjasama Pas dengan Pakatan Rakyat. Bekas Naib Presiden Pas tahun 1970an itu, tidak berapa suka dengan kerjasama Pas dengan DAP dan PKR dan beberapa kali memberi pandangan agar Pas menarik diri dengan berselindung disebalik konotasi mengkaji tahaluf siyasi.
Beberapa tahun sebelum ini pada satu muktamar di Shah Alam, seorang bekas Naib Presiden, mendedahkan ada pimpinan tertinggi Pas menghubunginya meminta agar Pas menjalini kerjasama dengan Umno. Difahamkan pemimpin tertinggi itu ditujukan kepada Haron Din. Kemungkinan ini sangat kuat apabila beliau menjadi mediator untuk menolak Anwar Ibrahim daripada menjadi PM sebaliknya diganti dengan Tengku Razaleigh Hamzah menjelang pilihan raya umum ke-13 lalu.
Memerhati di sekeliling diri Timbalan Mursyidul Am itu, tidak payah beliau berdolak dalih atau pun diplomasi dalam membuat cadangan agar Pas meninggalkan Pakatan Rakyat. Seeloknya sebagai seorang tokoh dan pemimpin berpengaruh beliau mengemukakan cadangan langsung agar Pas meninggalkan Pakatan Rakyat.
Atau kalau berani Haron Din boleh mengemukakan usul tergempar pada muktamar yang berlangsung hari ini mencadangkan agar Pas keluar dari Pakatan Rakyat. Gunalah mana-mana fraksi dalam Pas atau kawasan untuk melaksanakan usul berkenaan. Sudah tentu kalau beliau dan golongan ulama merasa kuat dan mendominasikan Pas serta idea itu syumul bagi ahli Pas, usul akan diterima sebulat suara.
Kalau takdir ini berlaku dan usul Pas keluar dari Pakatan Rakyat itu diterima, ahli Pas hendaklah bertawakus dengan keputusan muktamar, sebaliknya kalau muktamar menolaknya hendaklah reda dan rela kerana sebaik-baik keputusan mengenai Pas ialah dibuat dalam muktamar bukannya oleh kuasa presiden, atauapun kuasa Mursyidul Am atau mana-mana individu. Pas adalah hak semua ahli parti itu yang berdaftar dan menjelaskan yuran. Pas bukan sebuah masjid atau pun madrasah yang korikulumnya disediakan oleh mudir
Tiada ulasan:
Catat Ulasan