HALAMAN SANTAI

Selasa, 23 September 2014

DAP arah 15 Adunnya sokong Azmin sebagai MB Selangor

+
IMG_7627

Roketkini.com


KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP (CEC) memutuskan untuk menerima keputusan Presiden PKR Dato’ Seri Dr Wan Azizah Ismail untuk menarik diri daripada jawatan Menteri Besar Selangor, dalam mesyuarat tergemparnya malam tadi.

CEC turut memutuskan bagi mengarahkan kesemua 15 Adunnya di Selangor untuk menyokong Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor yang baru, selari dengan titah DYMM Sultan Selangor hari ini.

Berikut adalah kenyataan penuh Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng:

Kenyataan media oleh Setiausaha Agung DAP merangkap Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng pada 22 September 2014.

Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP (CEC) dalam mesyuarat tergemparnya pada 22 September 2014 telah memutuskan untuk menyokong kenyataan yang dibuat oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk menarik diri daripada jawatan Menteri Besar Selangor berikutan titah diraja oleh DYMM Sultan Selangor untuk melantik Timbalan Presiden PKR YB Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor yang baru.

CEC turut memutuskan untuk menyokong cadangan Dato’ Seri Dr Wan Azizah kepada pimpinan PKR untuk mengesyorkan YB Mohamed Azmin sebagai Menteri Besar Selangor yang baru, selari dengan pendirian CEC yang jelas dan konsisten bahawa calon Menteri Besar Selangor mestilah daripada PKR.

Memandangkan Dato’ Seri Dr Wan Azizah memiliki sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor sebanyak 30 daripada 56 ADUN, keputusan beliau untuk menyokong YB Azmin Ali adalah juga konsisten dengan pendirian DAP yang tegas dan berprinsip bahawa Menteri Besar Selangor (YB Azmin Ali) seharusnya memiliki sokongan majoriti DUN Selangor.

Atas sebab-sebab ini, CEC memutuskan untuk mengarahkan kesemua 15 ADUN DAP untuk menyokong YB Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor yang baru.

DAP berasa kesal dengan pengkhianatan 4 orang Ahli Exco Selangor dari PAS terhadap prinsip solidariti dan demokrasi serta kegagalan untuk setia bersama enam lagi Exco DAP dan PKR yang dipecat secara tidak adil oleh bekas Menteri Besar yang telah kehilangan sokongan majoriti DUN Selangor.

DAP berharap penyelesaian krisis politik Selangor dan pelantikan YB Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor yang baru akan dapat menepati janji bagi membina Selangor yang lebih baik, yang mampu memberikan keadilan, kebebasan dan kemakmuran ekonomi kepada semua. – Roketkini.com

Tiada ulasan: