HALAMAN SANTAI

Isnin, 22 September 2014

UPSR: Kertas ujian Matematik, B Tamil batal

MALAYSIAKINI



 
 
 
Kertas ujian Matematik dan Bahasa Tamil bagi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang disahkan bocor semalam, telah dibatalkan, kata Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Datuk Khair Mohamad Yusof.

Dalam kenyataannya, Khair berkata tarikh peperiksaan baru bagi kedua-dua kertas itu akan berlangsung pada 9 Oktober depan, selepas mengambil kira cuti umum Hari Raya Aidiladha dan aspek logistik.

"Selain itu, KPM menegaskan bahawa peperiksaan ini dilaksanakan semula bagi memastikan pengendalian peperiksaan awam mematuhi Prosedur Operasi Standard yang telah ditetapkan di samping menjamin integriti dan kredibiliti keputusan UPSR tersebut," katanya.

Khair berkata beliau telah mengambil alih pengawasan seluruh proses pengendalian peperiksaan awam yang dilaksanakan oleh Lembaga Peperiksaan sejak insiden kebocoran pertama dilaporkan pada 12 September lalu.

Antara langkah serta-merta yang dilakukannya, membuat pertukaran pegawai di Lembaga Peperiksaan untuk memantapkan lagi pengurusan dan pengendalian peperiksaan awam.

"Di samping itu, saya juga mengambil langkah mengetatkan lagi semua aspek keselamatan dalam pengurusan dan pengendalian kertas peperiksaan dari peringkat Lembaga Peperiksaan sehingga ke pusat peperiksaan.

"Saya memberi jaminan dan komitmen bahawa insiden kebocoran kertas-kertas peperiksaan awam tidak akan berulang," tegasnya.

Sambil memohon maaf kepada semua yang terlibat termasuk murid, ibu bapa, guru ekoran insiden itu, Khair berkata beliau amat memahami perasaan, keresahan dan kesulitan yang dihadapi semua pihak.

"Saya telahpun mengarahkan semua Guru Besar dan guru untuk mengenalpasti dan memberi khidmat kaunseling kepada murid-murid yang memerlukan," katannya.
 

Tiada ulasan: