MALAYSIAKINI
dikemaskini Istana Selangor
mengingatkan ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim agar tidak membuat
kenyataan yang mengelirukan masyarakat atau menjejaskan imej Sultan
Selangor dalam isu calon menteri besar baru negeri itu.
Setiausaha sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani merujuk
kepada kenyataan Anwar bahawa tindakan mengemukakan hanya satu nama
calon menteri besar adalah satu amalan lazim yang sejak kemerdekaan.
Dalam kenyataannya, Mohamad Munir menjelaskan bahawa pemimpin parti
Pakatan Rakyat diminta mengemukakan empat nama calon MB selepas pilihan
raya umum 2013.
Bagaimanapun, pemimpin Pakatan Rakyat tetap mengesyorkan hanya satu nama
– Tan Sri Khalid Ibrahim – untuk dilantik semula sebagai menteri besar.
"Kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim ini adalah tidak tepat dan mengelirukan rakyat.
“Oleh yang demikian, sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mempunyai
fakta yang tepat, beliau dinasihatkan agar tidak mengeluarkan kenyataan
yang boleh mengelirukan masyarakat dan menjejaskan imej Sultan
Selangor,” kata Mohamad Munir.
Kenyataan itu juga timbul selepas pengakuan bekas perdana menteri Tun Dr
Mahathir Mohamad bahawa BN juga sebelum ini hanya mengemukakan satu
nama calon MB untuk pertimbangan sultan.
PKR bertegas dengan mengemukakan hanya satu nama, presiden parti Datuk
Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk jawatan tersebut, yang disokong oleh
DAP.
Tindakan itu menimbulkan kemurkaan sultan Selangor, dan kedua-dua parti seterusnya memohon ampun atas tindakan tersebut.
'BN persembah beberapa nama'
PKR juga memohon untuk menghadap baginda untuk menjelaskan pendirian tersebut.
Ia berbeza dengan tindakan PAS yang memenuhi permintaan baginda dengan mengemukakan lebih dari dua nama calon.
Sementara itu, Mohamad Munir dalam kenyataannya menyebut, BN mengikut
amalan sebelum ini akan mempersembahkan beberapa nama kepada sultan
Selangor melalui perdana menteri.
“Di dalam majlis menghadap inilah perdana menteri akan menyembahkan
beberapa nama calon yang difikirkan layak untuk mendapat perkenan
sultan.
“Dari senarai nama calon tersebut, sultan Selangor akan memilih hanya
satu orang calon untuk dilantik sebagai menteri besar,” katanya.
Mohamad Munir juga membangkitkan bahawa Wan Azizah semasa kempen pilihan
raya umum 2013 Khalid tidak semestinya akan kekal sebagai menteri
besar.
Susulan itu, sultan meminta pemimpin Pakatan mengemukakan empat nama sebagai calon jawatan berkenaan.
“Walau bagaimanapun ketua parti dalam Pakatan Rakyat menulis surat
kepada sultan Selangor mengesyorkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
dilantik sebagai menteri besar Selangor.
“Di samping itu, baginda juga ada menerima penamaan calon lain bagi jawatan menteri besar Selangor,” katanya.
Seterusnya, sultan berkenan melantik Khalid sebagai menteri besar untuk
penggal kedua memandangkan beliau sudahpun menyandang jawatan tersebut
sebelum itu.
PKR Selangor difahamkan mengemukakan beberapa nama lain, selain dari nama Khalid kepada istana selepas pilihan raya umum itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan