MALAYSIAKINI
Persidangan tiga hari yang menyaksikan para perwakilan mengerut dahi dan
bertegang leher bertukar ceria seketika apabila naib presiden PAS,
Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man memberi pandangannya mengenai isu calon
menteri besar Selangor.
Dalam ucapan penggulungannya di Muktamar PAS Ke-60 itu, Tuan Ibrahim
berceloteh mengenai kebimbangan orang ramai ke atas isu berkenaan dan
harapan agar parti Islam tersebut dapat menyelesaikan isu tersebut.
Melalui ceritanya itu, Tuan Ibrahim menekankan bahawa isu mengenai calon
menteri besar tersebut sepatutnya diselesaikan oleh pemimpin tertinggi
PAS, dan bukannya dipikul oleh orang ramai.
"Ada seorang pak cik datang bertanyakan kepada saya meminta
menyelesaikan isu menteri besar Selangor. Saya berkata, 'saya sudah
periksa, pakcik, nama pak cik tak ada'.
"Isu ini isu pimpinan, jadi biar pimpinan yang selesaikan," katanya
mengundang gelak ketawa perwakilan dan wartawan yang menyaksikan ucapan
penggulungannya.
"Jangan semua kita nak pikul masalah. Masalah yang berlaku apabila kita
pikul bebanan orang lain. Nak pikul bebanan orang lain buat apa,"
katanya lagi.
Secara berjenaka, pesuruhjaya PAS Pahang itu turut menasihatkan para
pemimpin parti supaya tidak bergaduh dalam media sehingga ketahui umum.
Katanya, pertikaian seperti itu akan membimbangkan kelompok bukan Islam yang menyokong PAS.
Beliau mengumpamakan pemimpin tersebut seperti pasangan suami isteri
yang menurutnya tidak harus menyelesaikan masalah di depan anak-anak.
"Sepatutnya (ibu dan ayah) masuk bilik, padam lampu dan baru berkelahi,"
katanya dengan senyum kecil dan diiringi gelak ketawa perwakilan dan
wartawan sekali lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan