MALAYSIAKINI
Pemuda PAS akan mencari nafas baru untuk mempertahankan kerajaan
Kelantan dan tidak boleh bergantung kepada ketokohan bekas menteri besar
Datuk Nik Aziz Nik Mat memandangkan tahap kesihatan mursyidul am PAS
itu yang semakin uzur.
Walaupun Menteri Besar negeri itu kini Datuk Ahmad Yacob tiada masalah,
Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat berkata parti itu tidak dapat mengelak
untuk mencari faktor baru bagi tujuan tersebut.
Bercakap kepada pemberita di markas PAS DUN Pengkalan Kubor, Suhaizan
yakin bahawa Ahmad mampu mentadbir negeri itu tetapi PAS perlu mencari
faktor yang baru untuk mempertahankan Kelantan.
"MB sekarang okay, tapi kita tidak dapat lari dari faktor yang sedia ada. Faktor yang baru harus dicari.
"Tuan Guru Nik Aziz dulu menjadi menteri besar, beliau menjadi faktor
kemenangan kepada PAS (di Kelantan). Jadi kita harus mencari mekanisme
baru.
"Kita harus mencari faktor yang baru untuk mengimbangi faktor itu (sedia
ada). Kita harus cari dari sekarang memandangkan tok guru masih ada.
Kalau esok dia sudah tidak ada bagaimana?" katanya.
Menurutnya lagi, Pemuda akan mencari faktor yang lebih segar dan
objektif daripada pelbagai sudut untuk mendepani rakyat di negeri itu
termasuklah dari sudut pembangunan.
Faktor yang boleh diambilkira antaranya dari segi pembangunan, sikap
mesra rakyat, memudahkan sistem penyampaian maklumat kepada rakyat dan
kumpulan pentadbir untuk pentadbiran lebih berkesan.
"Bukan hanya satu faktor tetapi beberapa faktor yang akan kita rangkumi,
kita bangkitkan atas semangat kasih sayang dengan harapan
sahabat-sahabat kita di Kelantan akan berusaha lebih lagi untuk
mengimbangi faktor-faktor sedia ada," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan