JPA
 
 
 
KUALA LUMPUR - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan memperkukuhkan lagi beberapa prosedur tertentu penjawat awam bagi memastikan integriti dan perkhidmatan mereka sentiasa berada di tahap terbaik.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata langkah itu selaras dengan transformasi penjawat awam yang dilaksanakan JPA, selain ia boleh menambah baik tanggapan masyarakat terhadap tahap integriti mereka.

"Pada hakikatnya, saya yakin dan percaya kita ada prosedur-prosedur tertentu, dan kita boleh perkukuhkan...kita akan lihat balik proses-proses kerja, semua yang mana perlu kita baiki, kita baiki," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar Inovasi Sektor Awam 2014, di sini, hari ini.

Seminar dua hari itu, yang bermula hari ini, dianjur Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) dan Pusat Inovasi dan Produktiviti Pentadbiran Awam (Pippa), Universiti Sains Malaysia.

Mohamad Zabidi berkata langkah itu juga perlu berikutan beberapa insiden yang dilaporkan membabitkan sektor awam baru-baru ini termasuk isu kebocoran soalan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan penjawat awam mengelak daripada membayar cukai pendapatan.

Terdahulu, Mohamad Zabidi dalam ucapannya berkata dunia kini berada di era inovasi yang memerlukan semua peringkat perkhidmatan awam  mengutamakan inovasi dalam agenda masing-masing.

"Dalam era ini, idea adalah komoditi yang sangat bernilai," katanya.

Beliau menjelaskan dalam abad ini, setiap organisasi akan banyak bergantung kepada kepantasan memberi tindak balas terhadap persekitaran yang sentiasa berubah di peringkat global mahupun tempatan.

Justeru itu, beliau menyarankan semua jabatan kerajaan supaya sentiasa aktif  mewujudkan pasukan inovasi, yang antara lain, bagi melaksanakan projek-projek inovasi berimpak tinggi.

"Saya percaya masih ada banyak ruang untuk penjawat awam meneroka dan mencungkil idea baharu dalam projek inovasi di jabatan masing-masing," katanya.
  
Mohamad Zabidi juga meminta  penjawat awam supaya menggunakan inovasi dan kreativiti masing-masing untuk  menyampaikan dasar-dasar kerajaan kepada masyarakat termasuk berhubung Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Pada majlis itu, beliau malancarkan buku 'Kreativiti dan Inovasi Manjana Modal Insan Produktif' terbitan Intan dan USM, yang memuatkan artikel beberapa penulis termasuk beliau. - Bernama